Tiga maut, tiga parah kereta terbabas

Iklan
Pasukan bomba melakukan operasi mangsa tersepit dalam kenderaan di Batu 18 Jalan Sandau Lahad Datu-Sandakan.

LAHAD DATU – Tiga individu dilaporkan maut manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Batu 18, Jalan Sandau Lahad Datu–Sandakan, di sini pada petang Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang maut melibatkan seorang lelaki berusia 41 tahun dan dua wanita masing-masing berusia 38 dan 36 tahun, manakala mangsa yang parah pula terdiri daripada seorang lelaki berusia 43 tahun dan dua wanita berusia dalam lingkungan 40-an.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.05 petang.

Katanya, seramai lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 31 kilometer dari BBP Lahad Datu.

Iklan

Keadaan kereta dinaiki mangsa terbalik di Batu 18 Jalan Sandau Lahad Datu-Sandakan.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Saga BLM yang terbabas sendiri lalu terbalik.

Iklan

“Terdapat enam mangsa terlibat, iaitu empat wanita dan dua lelaki yang tersepit dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak mengeluarkan semua mangsa menggunakan peralatan khas.

“Tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Tiga lagi mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital oleh ambulans,” katanya.

Sumsoa berkata, operasi ditamatkan pada jam 5.27 petang selepas pihaknya memastikan kawasan kejadian selamat.