TELUK INTAN - Seorang duda ditahan polis selepas disyaki merogol anak kandungnya yang berusia 11 tahun dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di Langkap dekat sini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak menerima laporan mengenai kejadian itu pada 28 September lalu melibatkan suspek berusia 47 tahun.
“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku berulang kali sejak Mac lalu.
“Mangsa tinggal bersama suspek selepas kematian ibu kandungnya pada tahun 2023,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, suspek yang tidak bekerja telah ditahan reman sejak 29 September lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dan Seksyen 16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Katanya, kertas siasatan telah dimajukan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perak untuk pertuduhan.
“Polis memandang serius kes penderaan dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat,” katanya.
Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis bagi membantu membanteras kes-kes keganasan seksual terhadap kanak-kanak.