[VIDEO] 10 saat jinak tedung selar sepanjang 5 meter

Iklan

KUALA KRAI – Seorang lelaki hanya mengambil masa 10 saat untuk menangkap seekor ular tedung selar sepanjang lima meter seberat 12 kilogram (kg) yang bersembunyi di dalam sebuah peti sejuk buruk di Kampung Sungai Embak, di sini pada Khamis.

Mohd Hamdan Mahadi yang berpengalaman luas dalam kerja-kerja menangkap ular berkata, beliau menerima panggilan daripada penduduk kampung mengenai kehadiran reptilia berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi dan segera ke lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Mohd Hamdan hanya mengambil masa 10 saat untuk menangkap seekor ular tedung selar sepanjang lima meter seberat 12 kg yang bersembunyi di dalam sebuah peti buruk di Kampung Sungai Embak, Kuala Krai pada Khamis.

“Berbekalkan pengalaman, saya hanya mengambil masa 10 saat untuk menangkap ular sepanjang lima meter itu,” katanya ketika dihubungi.

Iklan

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Khas Cobra Malaysia (PKCM) berkata, ketika tiba di lokasi, ular berkenaan ditemui berada di dalam sebuah peti sejuk buruk yang terletak di belakang rumah penduduk.

Ujarnya, ular itu kemudiannya dilepaskan semula ke kawasan habitat asal yang jauh dari penempatan penduduk bagi memastikan keselamatan orang ramai.

Iklan

Sementara itu, Hamdan turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa membersihkan kawasan halaman rumah bagi mengelakkan kehadiran haiwan berbisa tersebut.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini menyebabkan ular memilih kawasan kediaman penduduk untuk berlindung.

“Jadi, orang ramai perlu lebih berhati-hati. Jika terlihat kehadiran ular di dalam rumah, segera hubungi pasukan penyelamat bagi mendapatkan bantuan,” katanya.