CEO Grup Sinar Karangkraf dilantik semula sebagai Anggota Lembaga Pengelola Bernama

Iklan
Fahmi bergambar kenangan bersama Ahli Lembaga Pengelola Bernama pada majlis penyerahan surat lantikan anggota majlis penyeliaan dan lembaga pengelola Bernama di Wisma Bernama pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dilantik semula sebagai Anggota Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi penggal 2025 hingga 2027.

Sementara itu, Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli dipilih lantikan baharu sebagai Anggota Silih Ganti Lembaga Pengelola Bernama seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 7 (1) Akta Bernama 1967 (Akta 780) berkuat kuasa mulai 1 September hingga 31 Ogos 2027.

Iklan
Iklan

Kedua-dua pelantikan tersebut merupakan antara senarai nama diumumkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Anggota Majlis Penyeliaan dan Lembaga Pengelola Bernama di Wisma Bernama, di sini pada Rabu.

Fahmi menjelaskan, pelantikan anggota baharu bagi kedua-dua badan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan akan berkuat kuasa mulai 1 September 2025 hingga 31 Ogos 2027.

Iklan

Menurut Fahmi, keanggotaan baharu ini diharap dapat memperkukuh landskap media negara selaras dengan kerangka Malaysia Madani serta visi kementerian untuk memperkasa komunikasi strategik dan penyampaian maklumat kepada rakyat.

Fahmi menyerahkan surat lantikan Ahli Lembaga Pengelola Bernama kepada Zamri pada Majlis Penyeliaan dan Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama pada Rabu. Foto Bernama

Iklan

“Pelantikan ini bukan sekadar penstrukturan semula organisasi, tetapi satu langkah memperkukuh ekosistem media nasional agar selari dengan nilai ketelusan, kebertanggungjawaban dan profesionalisme,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut merakam penghargaan kepada semua anggota yang telah menamatkan tempoh perkhidmatan dan menyeru kepimpinan baharu untuk meneruskan komitmen menjadikan Bernama sebagai agensi berita berautoriti dan diyakini.

Fahmi berkata, di bawah Akta Bernama 1967 (Akta 780), agensi itu berperanan menyebarkan berita nasional secara sahih, di samping memastikan tadbir urus serta dasar pelaporannya kekal bebas daripada sebarang pengaruh politik atau kepentingan sempit.

Beliau menjelaskan, Majlis Penyeliaan Bernama diketuai Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid sebagai Yang Dipertua, dengan dianggotai empat anggota lain termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.

Sementara itu, Lembaga Pengelola pula diterajui oleh Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai bersama 12 anggota tetap daripada pelbagai kementerian dan organisasi media utama negara.

Antara anggota lain ialah Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman; Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Julina Johan; Ketua Pegawai Kandungan Star Media Group, Datin Paduka Esther Ng dan Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Chan Aun Kuang.

Pelantikan turut melibatkan wakil akademik seperti Profesor Madya Dr Abd Rasid Abd Rahman dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Profesor Madya Dr Moniza Waheed dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dilantik sebagai anggota silih ganti.

Fahmi berkata, penyertaan pelbagai pihak dalam struktur baharu itu membolehkan Bernama memanfaatkan kepakaran rentas sektor dalam mendepani cabaran digital, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan data raya dalam ekosistem berita masa kini.

“Integriti dan profesionalisme mesti menjadi asas kepada setiap keputusan yang dibuat. Bernama perlu berinovasi dan terus relevan dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada rakyat,” ujarnya.

Menurut beliau, kementerian memberi penekanan terhadap peranan agensi berita nasional dalam memperkukuh komunikasi kerajaan, membina kepercayaan awam dan memastikan rakyat mendapat akses kepada sumber berita yang benar.

Fahmi turut menyeru agar sinergi antara Bernama dan organisasi media tempatan dipertingkatkan bagi memperkukuh jaringan komunikasi serta memperluas capaian berita ke peringkat global.

Katanya, keahlian daripada pelbagai agensi dan organisasi media dalam Lembaga Pengelola akan membantu memastikan Bernama kekal berdaya saing dan relevan dalam landskap media yang pantas berubah.

"Kementerian akan terus memberi sokongan dasar dan infrastruktur bagi membolehkan Bernama memainkan peranan strategik dalam memperkukuh naratif nasional serta mempertingkatkan komunikasi sosial negara.

“Dengan barisan kepimpinan baharu yang berwibawa, saya yakin Bernama akan terus melangkah ke hadapan sebagai sumber berita yang sahih, berautoriti dan dipercayai,” katanya.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; serta kepimpinan tertinggi Bernama.