Misi FFC x TMTG: Delegasi Malaysia dijangka tiba Pelabuhan Ashdod awal pagi Khamis

Iklan
Jangkaan tersebut berdasarkan kelajuan kapal yang dibawa tentera Israel ketika ini.

SERDANG - [DIKEMAS KINI] Kesemua 145 delegasi misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Miles to Gaza (TMTG) termasuk sembilan rakyat Malaysia yang ditahan rejim Israel dijangka tiba di Pelabuhan Ashdod, Israel tengah malam Rabu waktu tempatan iaitu awal pagi Khamis waktu Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, jangkaan tersebut berdasarkan kelajuan kapal yang dikendalikan tentera Israel ketika ini. 

Iklan
Iklan

Menurutnya, susulan pintasan kapal-kapal misi tersebut juga, komunikasi dijangka terputus lebih lama. 

"Pada waktu ini (6 petang waktu Malaysia) Kapal dipandu oleh tentera Israel ke Pelabuhan Ashdod dengan kelajuan yang kami lihat dalam 10 hingga 11 knot. Jadi dengan kelajuan tersebut, kita jangka ambil masa 10 hingga 11 jam untuk sampai.

Iklan

"Pihak kami menjangkakan 'communication blackout' ini akan lebih lama dan kelajuan kapal juga dijangka akan lebih perlahan ini kerana rejim Israel ingin memastikan delegasi tiba pada waktu malam," katanya ketika sidang media berhubung perkembangan misi tersebut di sini pada Rabu.

Beliau menjelaskan, pintasan ke atas kapal berlaku antara pukul 10.30 hingga 10.50 pagi waktu Malaysia dan seperti kebiasaannya, kapal yang ditawan akan diambil alih sepenuhnya oleh tentera Israel.

Iklan

“Biasanya, peserta misi tidak akan memandu kapal ke Pelabuhan Ashdod kerana matlamat mereka adalah ke Gaza. Namun, tentera Israel akan mengawal kapal berkenaan hingga tiba di pelabuhan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah berhubung dengan Menteri Luar Turkiye, Hakkan Fidan untuk menyelaras usaha membawa pulang sembilan rakyat Malaysia bersama 21 delegasi Turkiye ke Istanbul sebaik sahaja proses siasatan selesai.

Menurut Kamarul Zaman, delegasi Malaysia terdiri daripada tiga orang doktor perubatan di atas kapal Conscience iaitu Dr Fauziah Hassan, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi dan Dr Hafiz Sulaiman manakala seorang lagi, Dr Maziah Muhammad, berada di atas kapal UMM Saad. 

Katanya, mereka berperanan sebagai pasukan perubatan misi berkenaan.

“Misi pelayaran ini bukan sekadar membawa bantuan kemanusiaan, tetapi turut disertai doktor dan wartawan antarabangsa sebagai tanda solidariti terhadap ribuan nyawa doktor dan wartawan yang terkorban di Gaza,” katanya.

Tambah beliau, pasukan peguam yang telah bersedia di lapangan akan mengendalikan semua 145 delegasi yang ditahan sebaik sahaja mereka tiba di Ashdod dan proses siasatan dijangka bermula pada waktu pejabat pada Khamis.

“Kami berharap urusan ini dapat diselesaikan sebelum hujung minggu bagi mengelakkan kelewatan kerana pejabat kerajaan di Israel ditutup pada Jumaat dan Sabtu,” ujarnya.

Ujar beliau lagi, kerjasama kerajaan Turki juga diharap dapat mempercepatkan urusan pelepasan dan penghantaran pulang para delegasi, seperti mana yang pernah dilakukan terhadap peserta Global Sumud Flotilla sebelum ini.

Tegas beliau, misi FFC x TMTG dijalankan mengikut undang-undang antarabangsa dan berada di luar bidang kuasa Israel. 

Oleh itu katanya, MyCare menggesa kerajaan Malaysia dan masyarakat antarabangsa mengecam tindakan rampasan tersebut serta menuntut pembebasan segera semua sukarelawan yang telah diculik.

“Kami juga mendesak agar sekatan haram dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza dihentikan segera,” katanya.