Gambar buaya di Sungai Kinta disyaki janaan AI - Perhilitan

Iklan
Gambar seekor buaya di Sungai Kinta berhampiran Kampung Pisang yang tular di media sosial disyaki merupakan imej AI.

BATU GAJAH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak tidak menolak kemungkinan gambar seekor buaya di Sungai Kinta berhampiran Kampung Pisang di sini yang tular di media sosial merupakan imej janaan kecerdasan buatan (AI).

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, berdasarkan semakan terdapat beberapa perkongsian imej di lokasi sama yang memaparkan kehadiran haiwan lain termasuk badak air.

Iklan
Iklan

"Palsu. Ia gambar edit (suntingan) AI. Setakat ini, kita tidak menerima sebarang aduan berkaitan kehadiran buaya di situ," katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.

Beliau berkata, penyebaran maklumat yang tidak tepat seumpama itu dikhuatiri menimbulkan kegusaran kepada orang ramai khususnya pemancing.

Iklan

Berdasarkan semakan, terdapat beberapa perkongsian imej di lokasi sama yang memaparkan kehadiran haiwan lain termasuk badak air.

Katanya, Perhilitan memang tiada bidang kuasa terhadap penyebar berita palsu namun tindakan boleh diambil melalui polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Iklan

"Mohon pihak berkenaan tidak sebarkan maklumat tidak tepat dengan menyalahgunakan teknologi," jelasnya.

Terdahulu, tular perkongsian di media sosial menggesa orang ramai khususnya kaki pancing agar berhati-hati susulan kemunculan buaya berhampiran jambatan di Kampung Pisang, Batu Gajah.

Perkongsian itu turut memaparkan imej seekor buaya berada berhampiran tebing sungai.