TEMERLOH -"Ikutkan saya memang ada rasa tidak sedap hati tapi tidak sangka jadi macam begini".
Demikian kongsi pemilik kedai emas, Mona Rahayu Redzwan, 43, selepas kerugian RM12,400 apabila seutas rantai seberat 19.76 gram dan cincin seberat 4.35 gram dilarikan seorang wanita dalam kejadian jam 3.19 petang Sabtu lalu.
Menurutnya, wanita dipercayai berusia lingkungan 30-an datang ke premis tersebut kira-kira jam 3 petang yang ketika itu turut dikunjungi beberapa pelanggan lain.
"Wanita tersebut datang dengan memakai pelitup muka dan melihat beberapa barang kemas lain sebelum memilih cincin dan rantai emas tersebut.
"Hampir 20 minit juga saya melayan wanita tersebut dan ada minta kad pengenalan untuk diisi butiran pada bil resit pembelian namun memberikan alasan tertinggal dalam kereta," katanya ketika ditemui di premis terbabit pada Rabu.
Ujarnya, wanita itu juga kemudiannya memberikan alasan untuk mengambil telefon bimbit lain di dalam kereta untuk membuat pembayaran secara pemindahan dalam talian namun terus melarikan diri menaiki sebuah Perodua Bezza berwarna hitam.
"Segalanya berlaku terlalu pantas, wanita itu terus melarikan diri dan saya hanya terkedu bila lihat menerusi cermin kedai.
"Segala butiran peribadi yang diberikan palsu dan nombor telefon pun milik orang lain, hanya tinggal beg dalam kedai milik wanita itu yang mengandungi air botol mineral," jelasnya.
Mengakui itu pengalaman pertama kali sepanjang 15 tahun menjalankan perniagaan tersebut, Mona menjadikan insiden tersebut untuk lebih berhati-hati selepas ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Pemangku Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, nombor pendaftaran kereta tersebut disyaki palsu dan pihaknya sedang giat mengesan wanita terbabit.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.