SKUAD badminton muda negara meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Kumpulan C Kejuaraan Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2025 apabila menundukkan Kanada 2-0 di Pusat Kecemerlangan Nasional, Guwahati, pada Selasa.
Malaysia tidak berdepan banyak tentangan apabila mempamerkan penguasaan menyeluruh dalam kedua-dua set perlawanan yang menggunakan sistem pemarkahan baharu sembilan mata diperkenalkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Dalam set pertama, beregu campuran Datu Anif Datu Asrah–Low Zi Yu membuka tirai kemenangan selepas menumpaskan Gabriel Ching–Jadalynn Lee 9-4.
Perseorangan wanita Eng Ler Qi pula meneruskan rentak apabila menundukkan Fulgencia Simons Zhang 18-8, diikuti perseorangan lelaki Kong Wei Xiang yang garang menewaskan Shaurya Gullaiya 27-15.
Kemenangan Malaysia semakin kukuh menerusi beregu lelaki Damien Ling–Shazmir Shahrul yang mengatasi Nathan Yan Shun Lee–Ethan Ho Ting Yen 36-17, sebelum beregu wanita Aqila Ramdan–Aina Hatta menutup aksi pertama dengan kemenangan 45-20 ke atas Catherine Yunyi Pang–Lyric Su.
Momentum cemerlang itu diteruskan pada set kedua apabila beregu campuran Loh Zi Heng–Aqila Ramdan menewaskan Ethan Ho Ting Yen–Lucy Yang 9-5, diikuti perseorangan wanita Oo Shan Zi yang mudah menundukkan Ying Jian 18-7.
Perseorangan lelaki Razeeq Roslie kemudian menyumbang mata ketiga menewaskan Asher Bedi 27-10, manakala beregu lelaki Loh Zi Heng–Tan Zhi Yang pula tidak memberi ruang kepada Nathan Yan Shun Lee–Ethan Hon Ting Yen dengan kemenangan 36-14.
Beregu wanita Joinne Lee–Low Zi Yu kemudian menutup tirai kemenangan bergaya negara dengan keputusan 45-16.
Sebagai pilihan keempat kejohanan, Malaysia jelas tidak menunjukkan tanda-tanda memperlahankan rentak di bawah format baharu relay 45 mata, apabila mengekalkan keunggulan 45-20, 45-16 untuk mencatat kemenangan kedua berturut-turut.
Malaysia, yang membuka kempen dengan kemenangan 2-0 (45-23, 45-14) ke atas Slovakia pada Isnin, kini berada di landasan terbaik untuk mara ke suku akhir.
Skuad negara dijadual menamatkan aksi peringkat kumpulan menentang Australia pada Rabu, dengan juara kumpulan bakal melangkah ke suku akhir kejohanan.