CEO Petronas mohon maaf insiden di Grand Prix Singapura

Iklan
Tengku Muhammad Taufik memohon maaf atas tindakannya sewaktu meraikan kemenangan pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula One (F1) di Grand Prix Singapura baru-baru ini.

SHAH ALAM - Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz memohon maaf atas tindakannya sewaktu meraikan kemenangan pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula One (F1) di Grand Prix Singapura baru-baru ini.

Menurutnya, keterujaan spontan semasa meraikan kemenangan pasukan mungkin tidak bersesuaian dengan tempatnya.

Iklan
Iklan

“Ingin saya jelaskan bahawa saya tidak mengambil sebarang minuman keras, namun sebagai seorang Muslim, saya akur bahawa saya seharusnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk sambutan sedemikian.

“Oleh itu, saya ingin memohon maaf atas perbuatan saya yang secara tidak sengaja telah menyinggung perasaan dan saya mengambil sepenuh tanggungjawab di atas segala tindakan saya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Terdahulu, tular rakaman video daripada siaran langsung yang menunjukkan Tengku Muhammad Taufik berada dalam acara semburan minuman keras ketika berada di atas podium Formula 1, Singapura, yang mengundang reaksi banyak pihak.

Tambah Tengku Muhammad Taufik, kemenangan itu merupakan satu pencapaian yang telah lama dinanti-nantikan dalam kerjasama strategik yang terjalin dengan Pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula One, pada musim ini.

Iklan

“Saya berbesar hati diberikan penghormatan untuk mewakili pasukan bagi menerima Trofi Kemenangan Konstruktor.

“Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas kepercayaan dan sokongan berterusan yang diberikan kepada pasukan MAMG PETRONAS F1 yang bersaing di tahap tertinggi sukan permotoran.

“Berkat usaha gigih PETRONAS, kejayaan yang dikecapi sekarang dan kecemerlangan yang bakal dicapai di masa akan datang dalam era bahan api mampan mampu membuktikan kebolehan dan keunggulan inovasi ciptaan Malaysia,” jelasnya.