SEREMBAN - Minatnya yang mendalam terhadap basikal klasik menyebabkan seorang pemandu van sanggup membelanjakan lebih ratusan ribu ringgit bagi mendapatkan barang antik itu.
Sejak 20 tahun mengumpul basikal terbabit, Abdul Rahman SM Salleh, 60 mempunyai 13 koleksi basikal pelbagai jenama dan tahun keluaran.
Menurutnya, dia mula meminati basikal klasik selepas menonton rancangan di televisyen berkenaan aktiviti Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) di Melaka,
"Sejak itu, saya jatuh cinta dengan basikal ini dan mula menyertai kelab berkenaan sebelum membeli basikal pertama jenama Raleigh daripada seorang rakan dengan harga RM1,000.
"Saya mula jadi teruja pula nak kumpul pelbagai koleksi basikal ini yang dibeli secara berperingkat daripada pengumpul basikal klasik dan sekarang ini saya dah ada 13 basikal yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM100,000," katanya ditemui di rumahnya di Senawang.
Jelasnya, antara jenama basikal yang dimilikinya ialah Elswick, Raleigh, Sunbeam, Philips, Birmingham Small Arms Company Limited (BSA), Royal Enfield dan Hopper yang dihasilkan dari pelbagai negara.
Tambahnya lagi, basikal paling tua dalam koleksinya adalah jenama Sunbeam dari Belanda yang dipercayai dikeluarkan pada awal tahun 1900, dibeli daripada seorang pengumpul dari Perlis pada harga RM5,000.
"Yang terbaharu saya beli awal tahun ini iaitu basikal jenama Land Rover dengan harga RM6,000 yang mana kalau ikutkan harganya boleh mencecah RM10,000," katanya.
Dia juga memberitahu pernah ditawarkan RM7,000 daripada seorang individu yang berminat untuk membeli basikal jenama Philips, buatan England yang dimilikinya.
Bagaimanapun katanya, dia menolak kerana basikal itu tidak banyak ada di negara ini dan suatu masa dahulu digunakan untuk menghantar surat dan barang.
"Semua basikal ini saya gantung di rumah dan memandangnya seperti satu terapi buat saya.
"Saya bersyukur kerana isteri dan anak-anak memahami minat saya, cuma sayangnya tiada pun yang ikut minat saya ini,"katanya.
Selain itu kata Abdul Rahman, nilai basikal klasik semakin tinggi dari semasa ke semasa kerana sukar lagi diperolehi.
Disebabkan itu katanya, tidak hairanlah apabila sesetengah pengumpul yang sanggup bayar lebih bagi mendapatkannya.
"Kalau basikal baharu ini harga ia cepat susut, tapi tidak basikal klasik ini dan disebabkan itu saya tak pernah rasa rugi serta menyesal memilikinya,"katanya.