KAHERAH - Rundingan mengenai pelan damai Gaza oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sedang berlangsung di Mesir dengan wakil daripada Hamas, Israel, AS, Mesir dan Qatar bertemu bagi membincangkan potensi gencatan senjata, pembebasan tawanan serta pertukaran tahanan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Delegasi yang diketuai oleh wakil tertinggi Hamas di luar negara, Khalil al-Hayya telah bertemu dengan pengantara dari Qatar dan Mesir pada Isnin, menurut sumber kepada dpa.
Mesir, Qatar dan AS bertindak sebagai pengantara dalam konflik antara Israel dan pertubuhan Palestin itu.
Rundingan yang turut melibatkan AS dan wakil Israel juga dilaporkan dirancang dalam beberapa jam lagi. Seperti pusingan sebelumnya, wakil Israel dan Hamas tidak akan berunding secara langsung antara satu sama lain.
Utusan Khas AS ke Timur Tengah Steve Witkoff adalah antara mereka yang tiba di bandar pesisir Laut Merah, Sharm el-Sheikh, menurut dpa.
Selain delegasi Israel yang diketuai oleh Menteri Hal Ehwal Strategik Ron Dermer, wakil kerajaan dari Turkiye juga dijangka menyertai rundingan tersebut. Kebanyakan pegawai kanan Hamas di luar Gaza kini menetap di Qatar atau Turkiye.
Sumber keselamatan berkata wakil Hamas"sangat terbuka" terhadap usaha Mesir dan Qatar untuk mencapai persetujuan, sambil menambah bahawa mereka menunjukkan"kesediaan yang tulen” untuk memperbaiki keadaan dalam konflik Gaza yang berterusan selaras dengan pelan Trump.
Rundingan itu pada mulanya dijangka tertumpu kepada pembebasan baki 48 tawanan sebagai pertukaran bagi gencatan senjata serta pembebasan ratusan tahanan Palestin. Seperti dalam pusingan rundingan sebelum ini, proses itu dijangka berlarutan selama beberapa hari. - Bernama