[VIDEO] 8 kapal FFC bergabung dengan Conscience, siap sedia belayar ke Gaza

Iklan

SERDANG – Kesemua lapan kapal layar misi Thousand Madleens to Gaza (TMTG) di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) kini telah bergabung dengan kapal utama Conscience pada jam 11.30 pagi Isnin waktu Malaysia, sebelum memulakan pelayaran menuju ke Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, penyatuan semua kapal di perairan antarabangsa itu menandakan fasa penting misi kemanusiaan yang membawa bantuan perubatan dan makanan untuk rakyat Palestin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua kapal kini berada dalam keadaan siap sedia, namun masih menunggu ketibaan kapal pemerhati dinamakan Shireen Abu Akleh yang membawa pasukan peguam antarabangsa untuk bertindak sebagai pemerhati bebas sepanjang pelayaran.

“Kesemua kapal kini berlegar di perairan antarabangsa untuk menunggu kapal pemerhati Shireen Abu Akleh yang sedang berlayar dari Cyprus selepas menjalani kerja pembaikan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) di sini pada petang Isnin.

Iklan

Kamarul Zaman ketika sidang media di Ibu Pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) di sini pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN - ROSLI TALIB

Beliau menjelaskan, kapal pemerhati itu akan memainkan peranan penting dalam memantau aspek perundangan dan hak asasi sekiranya berlaku sebarang bentuk halangan atau intersepsi oleh tentera Israel di zon merah berhampiran Gaza.

Iklan

"Delegasi Malaysia yang menyertai misi kali ini seramai sembilan orang melibatkan pelbagai latar belakang termasuk pakar perubatan, peguam, aktivis dan wartawan kemanusiaan.

“Lapan peserta Malaysia berada di atas kapal Conscience manakala seorang lagi berada di atas kapal layar Umm Saad,” ujarnya.

Beliau berkata, kapal terbesar iaitu Conscience membawa 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga Ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis serta enam anggota Jawatankuasa Pemandu FFC.

Delegasi Malaysia kali ini diketuai oleh MyCare dengan penyertaan seramai 93 peserta dari 22 negara yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu.

Secara keseluruhan, misi TMTG melibatkan 150 peserta dari 25 negara, menjadikannya antara armada kemanusiaan terbesar selepas pelayaran Global Sumud Flotilla baru-baru ini.

Kamarul Zaman memaklumkan kapal Conscience kini berada kira-kira 230 hingga 270 batu nautika dari perairan Gaza, dan dijangka memasuki zon kuning dalam tempoh kurang 24 jam sebelum menghampiri zon merah.