PARIS - Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Isnin menerima keputusan peletakan jawatan Perdana Menteri, Sebastien Lecornu di tengah-tengah krisis politik yang melanda negara Eropah Barat itu.
Lecornu dilantik sebagai Perdana Menteri Ketujuh di bawah pentadbiran Macron pada 9 September lalu untuk menggantikan François Bayrou yang disingkirkan menerusi undi percaya.
Iklan
Iklan
Namun, pemimpin tersebut memutuskan untuk berundur setelah pengumuman barisan Kabinet baharu pada lewat Ahad yang menyaksikan tiada perubahan besar hingga mencetuskan kritikan hebat di seluruh spektrum politik.
Sejak sebulan lalu, Lecornu telah mengadakan rundingan bersama kesemua pihak termasuk pembangkang untuk mencapai persetujuan mengenai pakatan tidak bermusuhan di Parlimen dan meluluskan bajet yang gagal dilaksanakan dua pendahulunya, Bayrou serta Michel Barnier.
Difahamkan, tiada parti yang mempunyai kerusi mencukupi untuk mentadbir sendiri malah sebahagian besar parti haluan kiri mengumumkan rancangan untuk menyokong undi tak percaya. - Agensi