Skim SMART Sewa: 4,000 unit rumah ditawarkan menjelang 2028 - MB Selangor

Iklan
Amirudin meninjau keadaan unit rumah pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran bagi PPR Ampar Tenang, Dengkil. Foto Bernama

DENGKIL - Kerajaan Selangor menyasarkan kira-kira 4,000 unit rumah dapat disediakan di bawah inisiatif Skim SMART Sewa menjelang 2028, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya mempunyai kira-kira 1,000 unit rumah bagi pelaksanaan skim berkenaan dan bilangan itu dijangka meningkat menerusi projek Rumah Harapan dan Rumah Idaman di Selangor.

Iklan
Iklan

"Setiap kali siap sahaja Rumah Idaman dan Rumah Harapan, ini bermakna kerajaan negeri juga akan menerima rumah ini yang akan diberikan (daripada pemaju) termasuk di Lembah Subang.

"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang berunding saat akhir dan kita ingin selesaikan beberapa benda (misalnya) di Lembah Subang ada banyak blok dan pertambahan (unit), saya ingat antara 1,000 hingga 2,000 rumah (untuk SMART Sewa),” katanya pemberita selepas majlis penyerahan surat tawaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang di sini pada Isnin.

Iklan

Terdahulu dalam ucapannya, Amirudin berkata, kerajaan negeri komited untuk memperluaskan akses perumahan mampu milik kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana di Selangor.

"Saya tahu ada rakyat yang tidak mampu untuk beli rumah, kita tidak akan paksa anda memiliki rumah atau biarkan anda menderita (sebab itu) ada SMART Sewa,” katanya.

Iklan

SMART Sewa ialah skim yang menawarkan sewaan rumah kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana dan 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih akan digunakan untuk membayar deposit pembelian Rumah Selangorku. - Bernama