'Otai' EPL 'bantai' aksi longlai Liverpool

Iklan
Pertahanan Liverpool gagal membaca pergerakan Estavao (dua dari kanan) yang meledak gol kemenangan Chelsea pada masa kecederaan babak kedua.

DUA bekas bintang bola sepak England, Gary Neville dan Jamie Redknapp tampil mengecam prestasi hambar Liverpool selepas pasukan bimbingan Arne Slot itu tumbang 1-2 kepada Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge baru-baru ini.

Kekalahan itu meneruskan rentetan malang The Reds yang kini tewas tiga kali berturut-turut dalam semua pertandingan.

Iklan
Iklan

Mengulas kekalahan terbaharu Liverpool, Neville menyifatkan ia antara persembahan paling mengecewakan musim ini, khususnya dalam 20 minit terakhir apabila mereka gagal mengambil kesempatan terhadap kelemahan Chelsea yang kehilangan dua pertahanan utama akibat kecederaan.

“Selepas menjaringkan gol penyamaan, saya sangat kecewa dengan tahap permainan mereka. Mereka hilang fokus dan gagal mencipta peluang.

Iklan

“Cody Gakpo, Mohamed Salah dan Florian Wirtz banyak melakukan kesilapan mudah, seolah-olah tidak tahu bagaimana mahu memenangi perlawanan itu,” kata Neville.

Tambahnya, sikap pasif pasukan di penghujung perlawanan menunjukkan kehilangan semangat juang dan keyakinan diri.

Iklan

Redknapp pula berpendapat Liverpool kini kelihatan longgar dan tidak tersusun, jauh berbeza daripada pasukan yang memiliki keseimbangan dan disiplin taktikal musim lalu.

Menurutnya, perubahan sistem secara drastik oleh Slot telah mengganggu kestabilan pasukan.

“Musim lalu mereka tampak lebih tersusun dan berdisiplin, tetapi kali ini terlalu terbuka dan mudah ditembusi,” katanya sambil menegaskan Liverpool kini kelihatan seperti pasukan yang masih mencari identiti, bukannya calon sebenar untuk mempertahankan kejuaraan EPL.

Dalam perlawanan itu, Chelsea mendahului menerusi rembatan padu Moises Caicedo pada awal babak pertama sebelum Gakpo menyamakan kedudukan untuk Liverpool selepas rehat.

Namun, pemain muda Estevao muncul wira The Blues apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk memastikan tiga mata penuh kekal di Stamford Bridge.