Lebih 650 pelajar SPM 2024 terima tajaan pendidikan Petronas

Iklan
Ruslan (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Tajaan Pendidikan Petronas 2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

SHAH ALAM – Seramai lebih 650 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 menerima tajaan pendidikan daripada Petronas menerusi Powering Knowledge dalam satu majlis baru-baru ini.

Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Ruslan Islahudin berkata, tajaan tersebut membuka peluang luas kepada pelajar untuk meneroka potensi diri di peringkat lebih tinggi.

Iklan
Iklan

“Tajaan ini membuka pintu kepada dunia penuh kemungkinan, bukan sahaja ke universiti terkemuka dalam dan luar negara tetapi juga memperluas cakrawala ilmu serta membekalkan pelajar dengan keupayaan untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.

“Tahun ini sahaja, Petronas memperuntukkan sebanyak RM319 juta bagi membantu pelajar berpotensi tinggi. Ini mencerminkan komitmen kami membina ekosistem pendidikan yang kukuh dan menyediakan laluan ke arah peluang pekerjaan,” katanya.

Iklan

Ruslan (kanan) menyampaikan penghargaan tahniah kepada penerima Anugerah Tajaan Pendidikan Petronas 2025.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan Petronas 2025 dan dihadiri Naib Presiden Kanan, Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Ir Bacho Pilong.

Iklan

Penerima anugerah terdiri daripada pelbagai latar belakang dan bakal melanjutkan pengajian dalam bidang seperti kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, pemasaran dan bidang lain yang relevan.

Mereka terpilih sama ada melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Petronas (UTP) atau universiti terkemuka di dalam dan luar negara termasuk di United Kingdom, Australia, Kanada, China, New Zealand, Jepun, Korea Selatan serta Singapura.

Proses pemilihan dijalankan secara teliti daripada hampir 9,000 permohonan di seluruh negara, berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan dan penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum.

Tajaan pendidikan itu merupakan sebahagian daripada program utama syarikat berkenaan yang menzahirkan komitmen berterusan Petronas terhadap pembangunan modal insan negara.

Sejak diperkenalkan pada 1975, program tersebut telah memberi manfaat kepada lebih 40,000 pelajar Malaysia dengan jumlah pelaburan dianggarkan mencecah RM4.2 bilion.

Inisiatif Powering Knowledge turut menyokong agenda kelestarian Petronas dan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG 4) dalam usaha melahirkan pemimpin masa depan yang berupaya memberi impak sosial berkekalan.