Anwar doa perjalanan sembilan sukarelawan FFC menuju Gaza dipermudahkan

Iklan
Anwar membuat panggilan video bersama delegasi Malaysia yang terlibat dalam misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG).

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan doa dan harapan agar perjalanan sembilan sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza dipermudahkan.

Menurut Anwar, kesemua mereka kini berada di atas kapal Conscience dan TM Denmark Boat yang sedang berlayar di tengah Laut Mediterranean serta telah memasuki zon kuning.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah, saya sempat menghubungi sembilan lagi aktivis dan sukarelawan kita di atas kapal Conscience dan TM Denmark Boat yang kini berada di tengah Laut Mediterranean dan telah memasuki zon kuning.

"Saya suntikkan semangat dan mendoakan agar perjalanan serta usaha mereka menuju Gaza dipermudahkan," katanya dalam satu hantaran di media sosial pada Jumaat.

Iklan

Anwar menegaskan, keberanian dan keteguhan semangat kumpulan itu dalam mengangkat prinsip kemanusiaan wajar dijadikan teladan oleh seluruh rakyat Malaysia.

"Pengorbanan mereka dalam mengangkat prinsip kemanusiaan adalah contoh unggul buat seluruh rakyat Malaysia, khususnya generasi masa depan tentang erti keberanian, tekad dan solidariti yang tuntas serta tegas," ujarnya lagi.

Iklan

Antara sukarelawan rakyat Malaysia menyertai gelombang ketiga misi bantuan kemanusiaan dengan menaiki kapal Conscience milik FFC itu termasuklah Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali.

Peserta lain terdiri daripada Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.

Selain itu, misi ini turut disertai wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil; pensyarah, Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.