SHAH ALAM – Sebanyak 52 buku popular kanak-kanak diborong sepasang suami isteri pada Jualan Gudang Karangkraf 2025 untuk dijadikan hadiah sempena sambutan hari lahir anak mereka yang akan disambut tiga minggu lagi.
Pelukis pelan, Siti Nur Akira Mohd Sofian, 33, berkata, kesemua buku cerita bergambar Didi & Friends terbitan Kids Karangkraf menjadi pilihan beliau dan suami, Alif Hafizuddin Azman, 33.
“Kami merancang untuk menyambut hari lahir Aurora Medina yang mencecah usia lima tahun bersama rakan-rakannya di Tadika Dzul Iman Seksyen 13 pada 23 Oktober ini.
“Kami masih mencari hadiah apa yang hendak diberikan namun idea spontan timbul untuk membeli buku selepas terlihat bunting di hadapan Karangkraf ini. Mujurlah tidak terlewat untuk membeli selepas tahu esok hari terakhir,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.
Menurutnya, dia menghabiskan masa lebih sejam untuk memilih buku yang bersesuaian kerana Jualan Gudang Karangkraf menyediakan pelbagai buku menarik dengan harga berbaloi.
“Meskipun Aurora belum pandai membaca sepenuhnya, setakat perkataan suku kata, buku-buku yang dijual di sini diselitkan aktiviti menarik, jadi sesuai untuk merangsang minda kanak-kanak,” katanya.
Sementara itu, pentadbir jualan, Norhazira Mohammad Ikhir Juhari, 35, berkata, pelbagai bahan bacaan yang dipamerkan membuatkannya rambang mata untuk membeli buku buat diri serta dua anaknya.
“Lebih sedekad tidak menjejak kaki ke Jualan Gudang Karangkraf. Kali terakhir ketika waktu bujang dan banyak membeli novel. Hari ini saya ditemani suami dan anak-anak pula.
“Saya tahu tentang jualan ini menerusi iklan di aplikasi Instagram dan terus beritahu suami untuk datang hari ini. Selain novel, saya juga tertarik dengan buku-buku di bahagian kanak-kanak serta cenderamata,” katanya.