BEKAS bintang Arsenal, Robert Pires memberi amaran bahawa Mikel Arteta perlu memastikan pasukan itu menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini atau berisiko digantikan dengan jurulatih baharu.
Arteta yang mengambil alih kerusi pengurus di Emirates sejak hujung 2019 berjaya menjadikan Arsenal pencabar kejuaraan sebenar dengan tiga musim berturut-turut menamatkan saingan di tangga kedua.
Namun, penantian panjang penyokong The Gunners untuk menyaksikan pasukan mereka bergelar juara liga kini sudah melepasi 20 tahun dengan kali terakhir dikecapi pada musim gemilang 2003-04.
Musim panas lalu, Arsenal berbelanja lebih £250 juta bagi memperkukuhkan skuad dengan misi menyaingi Liverpool dan Manchester City.
Menurut Pires, Arteta kini tiada alasan untuk gagal kerana kelab sudah memenuhi permintaannya di jendela perpindahan.
“Pada pandangan saya, jika Arsenal gagal meraih trofi musim ini, pengurusan pasti akan mempertimbangkan jurulatih baharu. Arteta sudah lima tahun di sini tetapi kejuaraan masih belum digapai.
“Paling penting buat penyokong adalah gelaran liga. Kelab sudah belanja besar, memenuhi semua tuntutan jurulatih. Jika masih gagal, saya rasa perubahan di bangku simpanan pasti berlaku,” katanya.
Pires mengakui laluan Arsenal tidak mudah dengan Liverpool, Manchester City dan Chelsea dijangka memberikan saingan sengit tetapi beliau tetap percaya skuad Arteta memiliki kekuatan untuk muncul juara.