TAIPING - Seramai 202 mangsa daripada 65 keluarga terpaksa dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Larut, Matang dan Selama selepas kediaman mereka dinaiki air malam tadi.
Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, sehingga jam 6 pagi tadi semua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang, SK Matang, SK Matang Gelugor dan Dewan Serbaguna Taman Kaya.
Iklan
Iklan
PPS SK Simpang menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 106 orang daripada 34 keluarga, manakala PPS SK Matang Gelugor menempatkan 46 mangsa daripada 13 keluarga.
Sementara itu, 31 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya dan 19 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS SK Matang.
Antara kawasan yang terjejas ialah Taman Pengkalan Makmur, Taman Pengkalan Setia, Kampung Sentosa, Taman Mawar, Taman Simpang Makmur, Kampung Matang Jambu serta Kampung Telok Kertang.
Agensi terlibat dalam operasi pemindahan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).
Turut memberikan bantuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).