KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab Israel yang menahan dan menghalang kemasukan kapal-kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) memasuki Gaza pada Khamis.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, ia jelas menunjukkan kekejaman Israel yang terus melanggar undang-undang antarabangsa serta sanggup menyekat bantuan asas daripada sampai kepada rakyat Palestin yang sedang menderita akibat penindasan berterusan.
Iklan
Iklan
"Ia dilaksanakan secara aman tanpa membawa sebarang senjata, sebaliknya hanya membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan, namun tetap dihalang dan sebahagiannya telah ditahan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, Kelantan menzahirkan solidariti penuh bersama seluruh peserta GSF dan rakyat Palestin.
"Marilah kita bersatu hati memperkukuh solidariti dengan terus bersuara, meningkatkan kesedaran, memboikot produk yang berkaitan dengan Israel.
"Selain itu marilah kita terus berdoa dan menunaikan Solat Hajat agar saudara kita di Palestin dan para sukarelawan misi ini dikurniakan keselamatan serta kejayaan," katanya.
Menurut Mohd Nassuruddin, kerajaan negeri berharap usaha murni ini berjalan lancar dan bantuan kemanusiaan sampai kepada penduduk Palestin di Gaza yang memerlukan.