LOTUS’S Malaysia melancarkan semula cawangan Desa Tebrau selepas kerja pembaikan menyeluruh bagi meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggan dan pengendali perniagaan khususnya dalam sektor hotel, restoran dan kafe (HoReCa).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saksit Panurach berkata, transformasi cawangan itu memancarkan komitmen syarikat untuk melangkaui runcit tradisional serta memenuhi permintaan perniagaan kecil dan peniaga makanan yang mencari produk berkualiti pada harga berdaya saing.
“Kini, ia menawarkan susun atur lebih mesra perniagaan dengan pilihan saiz pek yang besar, pembelian pukal dan rangkaian produk khusus untuk kegunaan komersial. Stor ini membawa pelbagai jenis rangkaian HoReCa, memastikan kedua-dua isi rumah dan pembeli pukal mempunyai akses kepada produk diperlukan.
“Dengan menggabungkan keperluan runcit dan borong, cawangan ini memposisikan dirinya sebagai destinasi sehenti untuk produk segar, barangan kering dan bekalan penting,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Lotus’s Desa Tebrau terletak berhampiran Singapura, hanya 30 minit pemanduan dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru yang membolehkan peniaga makanan dari negara jiran mengakses produk berkualiti tinggi dengan lebih mudah.
Kedai yang telah diperbaharui ini mengukuhkan peranannya bukan sahaja sebagai pasar raya kejiranan tetapi juga sebagai hab bekalan serantau untuk sektor makanan dan minuman (F&B) yang pesat berkembang.
Tambahnya, pengubahsuaian stor ini bukan sekadar kerja pembaikan sebaliknya salah satu langkah untuk mempersiapkan perniagaan bagi masa depan serta mengukuhkan peranan syarikat sebagai rakan komuniti.
“Dengan menawarkan keperluan isi rumah dan pelanggan HoReCa, kami sedang mewujudkan hab sehenti yang memberi nilai, kemudahan dan kualiti kepada pelbagai jenis pelanggan sasaran.
“Lokasi strategik berhampiran Singapura juga membuka peluang rentas sempadan, membolehkan peniaga makanan mendapatkan produk yang dipercayai dengan harga berpatutan secara lebih mudah,” katanya.
Jelas beliau, di bawah tema Beli Lebih, Untung Lebih, Lotus’s Desa Tebrau akan memperkenalkan promosi menarik bagi menghargai pelanggan termasuk diskaun sehingga 60 peratus dan hadiah bernilai sehingga RM26,000 dari 2 hingga 6 Oktober 2025.
“Para pelanggan berpeluang memenangi hadiah melalui pelbagai aktiviti menarik seperti peraduan ‘Siapa cepat, Dia Dapat’ di mana 50 pelanggan pertama yang berbelanja RM80 dalam satu resit berpeluang memenangi produk Lotus’s bernilai RM10.
“Seterusnya, peraduan ‘Timbang, Pastu Menang’ memberi peluang kepada pelanggan dengan troli minimum 30 kilogram untuk memenangi baucar Lotus’s RM10 bagi 300 pemenang manakala belanja minimum RM120 dalam satu resit membolehkan mereka memenangi e-baucar bernilai RM200,”katanya.
Beliau berkata, selain tawaran hebat, sambutan pelancaran semula Lotus’s Desa Tebrau turut menampilkan ganjaran program kesetiaan untuk para pelanggan termasuk pameran jenama di ruang acara ‘Ceria-Yah’.
“Dengan pembelian sebarang produk rangkaian Nestum 5 Grains, pelanggan boleh menerima mug Nestum atau balang Luminarc Nestum bergantung kepada jumlah pembelian.
“Pembelian produk Kellogg’s pula akan berpeluang memenangi penginapan Legoland sehingga RM2,554, set pas taman tema bernilai sehingga RM11,000 atau hadiah melalui pusing roda seperti baucar Lotus’s RM10,” jelasnya.
Tambah beliau, pelanggan Lotus’s Desa Tebrau boleh menikmati promosi harian istimewa sehingga 6 Oktober 2025 dengan pelbagai diskaun dan harga istimewa sepanjang sambutan pelancaran semula stor.
“Pada 2 Oktober, ayam segar dijual pada RM4.99 seekor diikuti ikan Siakap pada RM7.99 seekor di keesokan harinya. Bawang merah besar dari India pula ditawarkan pada RM1.59 sekilogram manakala pada 5 Oktober, tembikai merah dijual pada RM1.29 sekilogram.
“Promosi berakhir pada 6 Oktober dengan tomato dijual pada RM0.99 sekilogram, membolehkan pelanggan menikmati barangan segar pada harga lebih berpatutan setiap hari sepanjang kempen,” ujarnya.