IPOH - Pemilik Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Perak berpeluang mengikuti Sudut Klinik Perniagaan sempena Seminar 2.0: Mengapa i-ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Inklusif) & Transformasi Perindustrian 5.0 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Casuarina, 16 Oktober ini.
Klinik Perniagaan tersebut membolehkan syarikat berkonsultasi bersama pegawai pelbagai agensi kerajaan secara satu lawan satu untuk memahami dan memohon sokongan perniagaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Cheah Pou Hian selaku penganjur berkata, sokongan tersebut termasuk kewangan, geran, insentif cukai serta program transformasi teknologi, termasuk geran padanan, sokongan transformasi iESG, geran automasi dan digital serta insentif cukai teknologi hijau.
"Peluang ini membolehkan PKS terus selari dengan hala tuju dasar kerajaan, memahami trend pasaran dan meningkatkan daya saing melalui penerapan teknologi moden," katanya.
Seminar anjuran Pusat Khidmat DUN Jelapang dengan kerjasama Institut Darul Ridzuan (IDR), PLANMalaysia Perak dan Persatuan Kelestarian Perusahaan Kecil & Sederhana Kinta Perak (KPKS) itu juga menandakan kerjasama kali pertama antara persatuan industri dan pihak swasta dalam usaha menyokong transformasi perindustrian di negeri ini.
Antara agensi yang terlibat ialah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), Jabatan Pertanian Negeri Perak, Agro Bank, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPN).
Pou Hian berkata, kerjasama rentas sektor ini bukan sahaja menyatukan sumber industri dan pengalaman praktikal, malah memberi akses terus kepada PKS untuk memahami dasar kerajaan serta peluang inovasi dalam pasaran.
Katanya, seminar menampilkan tiga syarikat swasta dengan penyelesaian teknologi canggih iaitu Trinergies Engineering Solutions Sdn Bhd dari Kuala Lumpur memperkenalkan automasi berkuasakan Kecerdasan Buatan (AI) untuk gudang.
"Manakala Empiric Science Sdn Bhd dari Pulau Pinang memberi tumpuan kepada penilaian pematuhan dan pembangunan aplikasi awan untuk transformasi digital.
"Institut Agro Usahawan pula mempamerkan benih tanaman, benih ikan dan produk usahawan tempatan yang memodenkan industri desa berasaskan makanan melalui pemasaran digital.
"Ketiga-tiga syarikat ini membuat showcase produk profesional mereka untuk manfaat PKS," katanya.
Beliau menggesa semua pengusaha dan pihak yang merancang transformasi perindustrian untuk menyertai seminar ini sebagai platform mengembangkan rangkaian kerjasama.
Orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui talian 010-392 2683 atau secara dalam talian di pautan https://forms.gle/JXAVGSpJYf4Gouef6.