SHAH ALAM - Buku perancang remaja dan dewasa (bertarikh) serta Kalendar 2026 antara produk terbaru keluaran Grup Buku Karangraf yang menjadi tarikan pengunjung Jualan Gudang Karangkraf 2025.
Penolong Pengurus Jualan Grup Buku Karangkraf, Norhaslinda Izham berkata, tiga produk tersebut yang menawarkan diskaun hingga 20 peratus telah berada dalam pasaran sejak Rabu lalu yang mana orang ramai juga boleh mendapatkannya di semua platform dalam talian Karangkraf Mall.
"Buku perancang remaja antara produk paling laris terjual sejak dua hari ini. Ia menjadi rebutan pelajar sekolah yang hadir ke karnival ini. Buku perancang ini ada dua pilihan iaitu yang bertarikh dan juga tanpa tarikh.
"Versi tanpa tarikh lebih fleksibel kerana pengguna boleh mula menulis pada bila-bila masa tanpa terikat dengan tahun, bulan dan hari.
"Ia menggunakan material berkualiti tinggi, sangat selesa untuk menulis terutamanya menggunakan pen mata bebola. Walaupun nampak seperti kertas berwarna kekuningan, ia sebenarnya lebih mahal dan eksklusif berbanding kertas biasa," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.
Jualan Gudang Karangkraf 2025 yang berlangsung sejak 26 September hingga 5 Oktober ini bermula dari jam 9 pagi hingga 7 malam.
Bertempat di Kompleks Karangkraf di sini pengunjung bukan sahaja berpeluang mendapat tawaran diskaun pada harga berpatutan malah terdapat juga pelbagai aktiviti menarik disajikan sepanjang program berlangsung.
Tambah Norhaslinda, buku perancang yang mempunyai cetakan berwarna itu hadir dalam dua saiz iaitu B6 dan A5 yang mana setiap satunya menampilkan lima rekaan berbeza.
"Harga asal untuk saiz B6 ialah RM14 manakala A5 pula berharga RM18, namun sepanjang Jualan Gudang ini, ia boleh diperoleh pada harga masing-masing RM11 dan RM14.
"Buku perancang ini dilengkapi pelbagai fungsi seperti perancang mingguan, penjejak tabiat, senaman dan perancangan perbelanjaan yang membantu pengguna merancang aktiviti harian dengan lebih tersusun," katanya.
Selain buku perancang dan Kalendar 2026, terdapat pelbagai barangan menarik seperti, pen My#QuranTime (MQT) Karangkraf, penanda buku magnetik, rantai kunci MQT, buku tulis MQT dan beg kanvas MQT.
Turut dijual ialah beg tote Karangkraf, payung lipat, kad gambar edisi terhad Sunan, buku nota Saya Remaja, tumbler terma, mug seramik, jurnal, penunjuk al-Quran, beg baca serta beg MQT.