KOTA BHARU – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu mengambil masa sejam untuk 'menewaskan' ular sawa batik seberat 200 kilogram (kg) di Kampung Lubok Jambu di sini pada Khamis.
Kehadiran reptilia sepanjang 4.5 meter itu disedari oleh seorang penternak berusia 34 tahun pada jam 11.10 malam semasa memeriksa kandang kambing miliknya.
Pegawai Operasi APM Kota Bharu, Leftenan (PA) Mohd Saifulbahri Wan Isa berkata, pada mulanya ia ditemukan oleh pemilik kandang dalam kawasan pagar sebelum melarikan diri ke semak berhampiran selepas terkejut dengan cahaya lampu suluh.
"Susulan itu, lelaki berkenaan telah menghubungi APM untuk mendapatkan bantuan. Penternak terbabit dikatakan panik sebab ular itu tersangat besar dan bimbang ia akan membaham kambing peliharaannya.
"Sepasukan lima anggota dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan daripada lelaki berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menurut beliau, proses menangkap ular sawa batik itu mengambil masa hampir sejam kerana saiznya yang besar dan agak agresif.
Ujarnya, pasukan menggunakan peralatan khas bagi mengawal reptilia berkenaan sebelum berjaya ditangkap.
Mohd Saifulbahri memberitahu, ular sawa tersebut dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Bharu bagi tindakan lanjut.