23 rakyat Malaysia perlu dibebaskan segera - Steven Sim

Iklan
Steven Sim

SHAH ALAM - Rejim Zionis perlu segera membebaskan aktivis dan sukarelawan kemanusiaan yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Palestin.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mendesak rejim itu membebaskan 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi keamanan tersebut yang ditahan sejak Khamis.

Iklan
Iklan

Tegasnya, dunia harus bertindak, tidak lagi boleh berdiam diri dan bersatu menentang kekejaman yang tidak berperikemanusiaan sebegitu.

“Kita bertanggungjawab melindungi pekerja, menjamin keselamatan serta memelihara maruah setiap insan. Inilah komitmen saya sebagai seorang menteri.

Iklan

“Namun pada malam ini, nurani saya juga tergerak untuk menyuarakan tentang mereka yang tidak selamat bukan kerana kemalangan.

“Mereka tidak selamat kerana ditahan, kebebasan mereka dirampas, maruah mereka diinjak,” katanya yang sebelum ini lantang memperjuangkan pembebasan Palestin.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan ratusan delegasi dari luar negara ketika menghadiri Gala Dinner World Social Security Forum (WSSF) 2025 di Kuala Lumpur pada Khamis malam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Presiden Pertubuhan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras tindakan tentera Israel yang menahan 23 rakyat Malaysia ketika mereka menyertai misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin.

Anwar juga memaklumkan beliau telah berhubung dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani serta Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi menyampaikan kebimbangan Malaysia mengenai insiden berkenaan.

Perdana Menteri turut menegaskan semua aktivis dan sukarelawan antarabangsa yang terlibat perlu dibebaskan dengan segera kerana flotila itu membawa bantuan penting untuk rakyat Gaza yang amat memerlukan.

Anwar menegaskan, Malaysia akan menggunakan segala saluran yang sah dari segi undang-undang antarabangsa bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, lebih-lebih lagi apabila keselamatan warganegara Malaysia sendiri menjadi pertaruhan.

Dalam pada itu, Steven Sim juga membangkitkan perihal keselamatan peserta GSF selain turut menggariskan kepentingan menjaga keselamatan pekerja, malah berkongsi amalan Malaysia kepada dunia.