Murid Tahun 4 meninggal dunia: Suasana hiba selubungi hospital

Iklan
Ibu bapa mangsa dan ahli keluarga yang lain tiba di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau jam 12.55 tengah hari pada Khamis.

REMBAU - Suasana pilu dan hiba menyelubungi pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau apabila ahli keluarga termasuk ibu bapa kepada murid Tahun Empat yang dilaporkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di tandas sebuah sekolah di Senawang, hadir menunggu proses bedah siasat pada Khamis.

Keluarga mangsa tiba sekitar jam 12.55 tengah hari bagi menantikan laporan bedah siasat selesai dijalankan.

Iklan
Iklan

Kelihatan ibu mangsa ditenangkan oleh ahli keluarga sebelum dibawa masuk ke unit forensik.

Terdahulu, media melaporkan murid lelaki berusia 10 tahun itu ditemui tidak sedarkan di dalam tandas lelaki sekolah sebelum dibawa ke sebuah pusat perubatan swasta oleh guru disiplin.

Iklan

Antara ahli keluarga yang hadir di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau pada Khamis.

Polis menerima maklumat mengenai kematian kanak-kanak itu jam 1.19 petang pada Rabu, semasa mangsa menerima rawatan di klinik berkenaan.

Iklan

Setakat jam 12 tengah hari pada Khamis, proses bedah siasat ke atas mangsa masih belum dimulakan kerana difahamkan siasatan di lokasi kejadian masih berlangsung.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kes kematian murid lelaki itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan sementara menunggu hasil bedah siasat.

Menurutnya, siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi menentukan sama ada wujud unsur-unsur buli dalam kes berkenaan.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden tersebut demi menjaga emosi keluarga mangsa, selain menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan penuh.