Jabatan Perikanan kesal pelepasan ikan keli Afrika

Iklan
MBSP memaklumkan pelepasan ikan keli Afrika itu sebagai tarikan promosi pertandingan dan bukan untuk kekal di dalam kolam bagi pertandingan memancing sempena Sambutan Hari Bandaraya baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Pejabat Perikanan Pulau Pinang kesal dengan insiden pelepasan ikan asing spesies keli Afrika semasa pertandingan memancing anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada 20 September lalu.

Pengarah Perikanan Pulau Pinang, Zarina Zainuddin berkata, pihaknya telah mengambil maklum mengenai perkara itu dan siasatan awal telah dijalankan.

Iklan
Iklan

"Garis panduan pelepasan ikan oleh orang awam yang dikeluarkan Jabatan Perikanan jelas menetapkan hanya spesies ikan asli dibenarkan dilepaskan ke perairan umum.

“Pelepasan ikan asing atau bukan asli adalah dilarang sama sekali kerana ia berisiko mengganggu keseimbangan biodiversiti, menjejaskan habitat serta mengancam populasi ikan asli melalui persaingan dan pemangsaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Tambah beliau, pihaknya akan terus memastikan kelestarian sumber asli perikanan negara dipelihara.

“Kami amat berharap agar semua pihak dapat memberi kerjasama dengan merujuk terlebih dahulu kepada jabatan sebelum melaksanakan sebarang aktiviti pelepasan ikan.

Iklan

"Langkah ini penting supaya tindakan yang diambil tidak menjejaskan keseimbangan ekosistem dan sumber asli yang kita warisi,” jelasnya.

Sementara itu, MBSP ketika dihubungi berkata, jumlah sebenar ikan keli Afrika dilepaskan adalah 150 ekor dan bukannya 350 kilogram seperti yang didakwa.

Menurut MBSP lagi, pelepasan itu sebagai tarikan promosi pertandingan dan bukan untuk kekal di dalam kolam tadahan bagi pertandingan memancing sempena Sambutan Hari Bandaraya yang diadakan baru-baru ini.

"Syarat pertandingan yang ditetapkan adalah setiap ikan yang berjaya dinaikkan oleh peserta akan ditimbang dan direkodkan. Kesemua ikan tersebut akan disimpan di dalam tong sehingga acara tamat.

"Semua hasil tangkapan tidak dilepaskan semula ke dalam kolam sebaliknya diberikan kepada orang awam atau pemancing untuk dibawa pulang," ujarnya.

MBSP menambah, sepanjang pertandingan itu, sebanyak 113 ekor ikan berjaya ditangkap iaitu kira-kira 75 peratus daripada jumlah keseluruhan yang dilepaskan.

"Sebagai langkah pencegahan tambahan, pihak penganjur turut meletakkan jaring pada setiap pintu masuk dan pintu keluar air bagi memastikan ikan tidak terlepas ke luar kolam tadahan MBSP,” katanya.