SHAH ALAM - Karangkraf dengan kerjasama Klinik Kesihatan Seksyen 7 di sini akan mengadakan pemberian suntikan vaksin tambahan Measles dan Rubella secara percuma buat kanak-kanak yang berkunjung ke Jualan Gudang Karangkraf 2025.
Penyelia Jururawat U9 Klinik Kesihatan Seksyen 7, Aida Ismail berkata, ini kali pertama pihaknya mengadakan kerjasama dengan Karangkraf memandangkan syarikat penerbitan gergasi itu sedang menganjurkan jualan gudang yang rata-ratanya dikunjungi masyarakat pelbagai lapisan umur.
Menurutnya, pemilihan tarikh 4 dan 5 Oktober disifatkan amat sesuai kerana program suntikan imunisasi itu akan berlangsung serentak dengan pertandingan mewarna kanak-kanak.
“Alang-alang diadakan pertandingan mewarna kanak-kanak, kami buka juga ruang untuk ibu bapa bawa anak-anak mereka dapatkan suntikan vaksin tambahan pada hujung minggu ini.
“Ia satu kesempatan untuk pihak klinik kumpul data bagi melengkapkan Program Imunisasi Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Hanya perlu walk-in dan kami beri suntikan percuma.
“Keutamaan diberikan kepada kanak-kanak yang lahir dari 1 Ogos 2020 hingga 31 Januari 2025. Bagaimanapun, kami tidak meletakkan kuota atau sasaran, seberapa ramai yang hadir kami terima sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
Pemberian suntikan vaksin tambahan Measles dan Rubella sempena Program Imunisasi Kebangsaan KKM akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 2 petang bertempat di Bilik Ikhlas, Kompleks Karangkraf di sini.
Menurut Aida, pihaknya berpeluang menyantuni golongan sasar menerusi Jualan Gudang Karangkraf 2025 selepas menerima cadangan daripada Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang yang juga salah seorang Ahli Lembaga Penasihat Klinik Seksyen 7.
“Beliau yang cadangkan kepada kami supaya program suntikan imunisasi dibuat pada hujung minggu ini memandangkan waktu itu ramai pengunjung,” ujarnya.
Jualan Gudang Karangkraf 2025 berlangsung selama 10 hari bermula 26 September hingga 5 Oktober ini dari jam 9 pagi hingga 7 malam.
Lebih 1,000 bahan bacaan termasuk al-Quran ditawarkan kepada peminat dengan potongan harga sehingga 80 peratus.
Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan buat pengunjung khususnya kepada golongan kanak-kanak, antaranya pertandingan mewarna dan teka silang kata bergambar.
Selain itu, penganjur juga mengadakan sesi temu mesra bersama penulis buku dan pengunjung berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai sehingga RM2,500 dengan minimum pembelian RM80 produk Karangkraf.