JUARA bertahan, Britain akhirnya sah menyertai Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun merebut Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 edisi ke-13, (SOJC 13) di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.
Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pengesahan Britain itu melengkapkan pasukan yang beraksi pada SOJC 13 selain skuad hoki remaja negara, India, Pakistan, New Zealand dan Australia.
Justeru tegasnya, skuad Young Tigers yang dibimbing legenda hoki negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mampu menyerlah pada SOJC 13.
"Yang pertamanya, saya ingin menyatakan SOJC berada di negeri Johor dan sewajarnya pasukan negara mengambil peluang untuk menampilkan aksi terbaik pada kejohanan itu nanti tatkala mereka tidak perlu keluarkan kos beraksi di luar negara apabila menentang pasukan dari Australia, Britain, India, Pakistan dan New Zealand.
"Kita harus tampil lebih garang dalam kejohanan itu nanti dan bukan sekadar pemanas bagi persiapan Piala Dunia Remaja di India, Disember ini.
"Pemain harus meletakkan SOJC sebagai satu kejohanan berprestij yang tinggi kerana bakal berdepan pasukan-pasukan hoki remaja yang berada pada ranking terbaik di peringkat dunia," katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Mohd Hairi turut mengesahkan pasukan hoki Sukan Malaysia (Sukma) Johor akan mengadakan aksi persahabatan berdepan kelima-lima pasukan yang menyertai SOJC 13.
"Aksi persahabatan itu akan diuruskan oleh Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dah ia adalah satu langkah tepat bagi memberi pendedahan terbaik kepada pemain muda hoki Johor yang akan bertanding pada Sukma Selangor pada Ogos tahun hadapan," katanya.