SHAH ALAM - Gelombang ketiga flotilla kemanusiaan telah berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza dengan membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan, ahli Parlimen dan aktivis kemanusiaan.
Misi kali ini dijalankan di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) and Thousand Madleens to Gaza (TMTG), dengan 10 bot telah berlepas pada 27 September lalu dari Itali manakala kapal Conscience telah dilancarkan di Porto Otranto, Itali dengan para peserta telah berlepas pada 30 September.
Menurut kenyataan MyCARE, bagi pihak Malaysia, sejumlah sembilan delegasi menyertai misi ini melalui dua kapal berbeza iaitu seorang doktor perubatan, Dr Maziah Mohammad berada di atas kapal layar Umm Saad (TMTG).
“Lapan lagi wakil Malaysia berada dalam kapal Conscience iaitu Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali yang juga Ketua Delegasi Malaysia dan tiga doktor perubatan iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.
“Dua pensyarah turut serta iaitu Profesor Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
“Kami memohon rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan sepenuhnya dan membuat sebaran pelayaran ini. Gaza sedang memerlukan para pakar perubatan dan wartawan untuk menunjukkan keadaan sebenar di sana. Doakan agar misi ini berjalan dengan lancar,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Misi ini juga menjadi pengalaman kedua buat dua wakil Malaysia iaitu Dr Fauziah yang pernah ditahan askar rejim Israel pada 2016 dan Mohd Afandi yang turut melalui detik sama pada 2018.
Dalam pada itu, orang ramai boleh mengikuti perkembangan perjalanan misi flotilla berkenaan secara langsung menerusi laman penjejak pelayaran di pautan https://thousandmadleens.fr/tracker/.
Gelombang pertama flotilla pada Jun lalu menyaksikan aktivis alam sekitar terkenal dari Sweden, Greta Thunberg bersama 11 yang lain ditahan Israel ketika menaiki kapal bantuan Madleen ke Gaza.
Ia disusuli dengan gelombang kedua hasil inisiatif antarabangsa Global Sumud Flotilla yang kini masih dalam pelayaran.