Mengaku pukul anjing hingga mati, pemuda didenda RM20,000

Iklan
Thenishkumar dijatuhi hukuman denda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret di Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah memukul seekor anjing hingga mati, dua minggu lalu.

IPOH – [DIKEMAS KINI] Seorang pemuda didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah memukul seekor anjing menggunakan sebatang besi yang videonya tular di media sosial, dua minggu lalu.

Majistret Anis Hanini Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap mekanik, M Thineshkumar, 23, dan memerintahkan tertuduh dipenjara satu bulan jika gagal membayar denda.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan kejam memukul seekor anjing jantan dengan menggunakan sebatang besi sehingga mengalami kecederaan di sebuah rumah di Lebuh Kledang Utara, Taman Arkid, Ipoh antara jam 10.30 malam 18 September hingga jam 9 pagi 19 September 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Iklan

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amal Aziemah Abd Kohar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, tindakan tertuduh telah dihalang oleh ibunya, namun tidak diendahkan.

Iklan

Anjing berkenaan telah dibawa ke klinik haiwan pada keesokan harinya dan hasil pemeriksaan doktor mendapati, haiwan tersebut mengalami kecederaan parah di kepala serta hidung akibat pukulan serta terdapat punctured wound (luka tebuk).

Haiwan itu kemudiannya di bawa pulang, namun tidak dapat diselamatkan dan mati pada petang hari yang sama.