327 pembayar zakat terima hadiah PPZ-MAIWP

Iklan
Sebahagian pemenang bergambar di Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Jom Tambah, Semarak Zakat dan Jom Ulang pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Seramai 327 pembayar zakat diraikan pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Jom Tambah, Semarak Zakat dan Jom Ulang anjuran Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) di ibu pejabatnya di Cheras pada Selasa.

Daripada jumlah itu, 27 pemenang utama dan seorang pemenang bulanan hadir menerima hadiah masing-masing membabitkan tujuh pemenang Kempen Jom Tambah, 20 pemenang Kempen Semarak Zakat serta seorang pemenang bulan Ogos bagi Kempen Jom Ulang.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, kempen itu dianjurkan bagi menggalakkan lebih ramai umat Islam khususnya kakitangan awam dan swasta menunaikan zakat melalui PPZ-MAIWP.

“Selain mendorong masyarakat melaksanakan zakat, kempen ini juga memperkukuh usaha PPZ-MAIWP meningkatkan kutipan zakat agar lebih ramai asnaf di Wilayah Persekutuan menerima manfaat sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Antara hadiah menarik dimenangi pemenang termasuk pakej percutian, pakej umrah, motosikal, komputer riba, basikal lipat, Google TV, jongkong emas, skuter elektrik dan pelbagai lagi.

Beliau menjelaskan, kutipan zakat daripada tiga kempen itu setakat ini berjumlah RM62.86 juta dengan penyertaan 20,688 pembayar zakat.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, kutipan keseluruhan Kempen Jom Ulang hanya akan diumumkan selepas ia berakhir pada 31 Disember depan.

Sementara itu, PPZ-MAIWP menyeru lebih ramai individu dan syarikat menyertai Kempen Jom Ulang yang masih berlangsung hingga hujung tahun ini, selain menggalakkan penyertaan dalam Kempen Jom Potong melalui Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB).

Antara hadiah menanti dalam kempen itu termasuk pakej percutian enam negara, pakej umrah, motosikal, PlayStation 5, MacBook Air serta baucar Gloria Jean’s Coffees untuk 5,000 peserta terawal.

PPZ-MAIWP berharap penghargaan itu dapat meningkatkan motivasi umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan untuk menunaikan zakat secara konsisten, seterusnya memperluas manfaat kepada kelompok asnaf.

Sebarang maklumat lanjut mengenai zakat dan kempen yang sedang berlangsung, orang ramai boleh melayari portal rasmi PPZ-MAIWP di www.zakat.com.my