Pembantu kedai runcit didakwa tetak lelaki guna parang

Iklan
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada Rabu.

SUNGAI PETANI - Seorang pembantu kedai runcit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah menggunakan parang terhadap seorang lelaki bulan lalu.

Tertuduh, A Suriavarman, 23, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Najwa Che Mat ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Nassri Abdullah, 36, menggunakan sebilah parang di bawah Flat Paya Nahu 2, kira-kira jam 3.55 petang pada 21 September lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Najwa menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan agar tidak mengganggu mangsa dan perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali.

Iklan

Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 November depan bagi menunggu laporan perubatan.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa ditetak oleh seorang lelaki tidak dikenali semasa datang ke rumah abangnya di flat berkenaan pada hari kejadian.

Mangsa kemudian mengalami kecederaan parah dipercayai akibat ditetak menggunakan senjata tajam.