CHENGDU - Seorang pendaki berdepan kematian tragis pada ketinggian kira-kira 5,300 meter (m) ketika cuba mengambil swafoto.
Insiden itu menimpa lelaki dikenali sebagai Hong, 31, ketika dia menyertai ekspedisi mendaki Puncak Nama, cabang Gunung Gongga berketinggian 5,588 di wilayah Sichuan di China pada minggu lalu.
Iklan
Iklan
Menurut saksi, mangsa tergelincir setelah dia membuka tali keselamatan kerana mahu merakamkan gambar di puncak gunung dilitupi salji.
"Dia juga tidak menggunakan peralatan seperti kapak ais untuk berpaut hingga menyebabkannya hilang keseimbangan tubuh lalu terjatuh pada ketinggian hampir 200 meter di kawasan berbatu," menurut laporan media.
Pihak berkuasa mendapati Hong bersama rakan pendaki lain tidak memohon permit mendaki.
Pasukan penyelamat termasuk anggota komuniti telah dikerahkan untuk tindak balas kecemasan di kawasan berkenaan.
Hong disahkan mati di lokasi kejadian dan jasadnya dipindahkan ke Bandar Gunung Gongga untuk urusan pengebumiannya. - Agensi