Tertembak rakan disangka haiwan, mayat dibawa lari 300km sebelum ditinggal tepi jalan

Iklan
Noor Hisam

IPOH - [DIKEMAS KINI] Demi menutup kejadian sebenar, sekumpulan lelaki sanggup membawa 'lari' mayat rakan mereka sejauh hampir 300 kilometer dari Batu Caves, Selangor ke Kampung Selamat, Semanggol dekat Bagan Serai, Isnin lalu.

Mangsa lelaki berusia 43 tahun itu ditemui sudah meninggal dunia di tepi jalan tidak berturap di Kampung Selamat dengan tiga kesan tembakan di bahagian belakang badan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai terkena tembakan secara tidak sengaja ketika keluar memburu bersama rakannya di kawasan hutan di Batu Caves pada malam Ahad.

“Salah seorang daripada rakan telah tertembak mangsa kerana menyangka mangsa adalah haiwan buruan.

Iklan

"Sejurus kejadian itu, suspek bersama dua lelaki lain bersepakat membawa mangsa menaiki sebuah kenderaan ke Semanggol dengan diiringi dua kenderaan lain.

“Mereka kemudian meninggalkan mayat di tepi jalan tidak berturap untuk mencipta jalan cerita lain bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, bertindak atas maklumat orang awam yang memaklumkan penemuan mayat itu kira-kira jam 3.55 pagi, pasukan polis dari Balai Polis Semanggol segera ke lokasi dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

Katanya, siasatan dijalankam kemudiannya berjaya menahan dua lelaki masing-masing berusia 32 dan 33 tahun di Kampung Selamat pada Isnin bagi membantu siasatan.

"Salah seorang daripadanya mempunyai pertalian saudara dengan mangsa.

"Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun di Batu Caves pada jam 8.30 malam hari sama," katanya.

Menurut Noor Hisam, ketiga-tiga suspek itu kini direman tujuh hari sehingga 6 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambah beliah, dalam kes itu, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire, sebuah Mazda BT-50, sebuah Toyota Hilux, dua laras senapang buatan sendiri, 11 butir peluru 12 bore serta empat telefon bimbit.

"Polis masih mengesan seorang lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kes ini," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kerian, Asisten Superintenden Ambri Mat Nayan di talian 012-5306567 atau balai polis terdekat.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Taiping bagi urusan bedah siasat yang dijadualkan pada Rabu.