Ops Grip: Akaun RM70 juta dibekukan, 17,672 tayar dirampas

Iklan
SPRM menggempur sindiket penyeludupan tayar dan pemalsuan dokumen import serta eksport menerusi serbuan di 23 lokasi sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor pada Isnin.

KUALA LUMPUR –Pembekuan akaun bank bernilai RM70 juta antara tindakan dijalankan susulan Ops Grip dilaksanakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin melibatkan sindiket penyeludupan tayar.

SPRM berkata, tindakan pembekuan itu melibatkan akaun persendirian dan syarikat yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan siasatan.

Iklan
Iklan

"Pembekuan akan dikenakan ke atas akaun-akaun bank persendirian, serta akaun syarikat-syarikat yang berkaitan dengan jumlah keseluruhan dianggarkan sebanyak RM70 juta.

"Siasatan turut menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki telah diperoleh oleh sama ada pegawai kastam atau syarikat-syarikat pengimport tayar melalui aktiviti pengubahan wang haram," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Katanya, sebanyak 23 lokasi utama telah diperiksa membabitkan syarikat pengimport tayar, termasuk enam gudang dan kontena penyimpanan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

"Kesemua gudang dan kontena terbabit disita dengan anggaran rampasan 17,672 biji tayar bagi tujuan pemeriksaan ketulenan bersama pemilik jenama antarabangsa seperti Michelin dan Goodyear serta pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)," katanya.

Iklan

Menurutnya, fokus siasatan kini menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

"Kesemua tindakan ini adalah sebahagian daripada siasatan berterusan yang dijalankan bagi memastikan mereka yang terlibat dapat diheret ke muka pengadilan," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan SPRM menggempur sindiket penyeludupan tayar dan pemalsuan dokumen import serta eksport menerusi serbuan di 23 lokasi sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor pada Isnin.

Serbuan menerusi Ops Grip diketuai Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Operasi ini secara langsung menggempur sindiket terbabit yang menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai dianggarkan RM350 juta sejak 2020 hingga tahun ini.