SHAH ALAM – Bukan sahaja buku, novel dan al-Quran menjadi rebutan di Jualan Gudang Karangkraf 2025, beg cenderamata dengan pelbagai corak turut menjadi perhatian pengunjung.
Pembekal barangan cenderamata, Norlina Yusof, 42, mengakui tertarik dengan beg bercorak bunga-bungaan yang turut memaparkan tulisan Karangkraf, Karya Bestari dan My #QuranTime.
Menurut Norlina, Karangkraf sentiasa mengetengahkan rekaan baharu saban tahun memandangkan sudah bekerjasama dengan jenama tersebut sejak enam tahun lalu dalam pembekalan cenderamata.
“Disebabkan beg cenderamata ini menarik, saya pun tertarik untuk membeli dua, satu untuk diri sendiri dan satu lagi sebagai hadiah kepada ibu mentua.
“Coraknya cantik, pelbagai dan ‘unlimited’ menunjukkan karya seni itu tiada batasan apabila digabungkan dengan warna.
“Selain membeli, saya juga membekalkan barangan cenderamata lain antaranya pen, penanda buku dan kulit al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Terdahulu, beg pelbagai guna keluaran Karangkraf itu boleh didapati pada harga bermula RM30 hingga RM45, bergantung kepada saiz dan corak.
Mengulas mengenai kulit al-Quran, Norlina turut mengetengahkan inovasi baharu dalam usaha menarik minat pembeli.
Jelasnya, kulit halaman al-Quran jenis kulit sintetik (PU leather) yang sebelum ini kurang mendapat sambutan, kini menjadi pilihan ramai.
“Kalau dahulu, jenis kulit sintetik tidak boleh dicetak tetapi sekarang boleh dan turut dipasang zip pada al-Quran,” ujarnya.
Sementara itu, pekerja swasta, Nurul Huda Ahmad Rozali, 25, membeli beberapa naskhah karya novelis thriller terkenal, Ramlee Awang Mursyid kerana penerbit mencetak semula edisi lama dengan rekaan kulit buku lebih futuristik.
“Saya hanya mampu meminjam novel daripada kenalan ketika zaman kanak-kanak, namun kini berpuas hati apabila dapat membelinya sendiri.
“Ramlee Awang Mursyid antara penulis kegemaran saya dan sekarang karyanya yang lama dicetak semula dengan cover baharu,” ujarnya yang menetap di Taman Sri Muda.
Terdahulu, Jualan Gudang Karangkraf 2025 berlangsung selama 10 hari bermula 26 September hingga 5 Oktober ini, dari jam 9 pagi hingga 7 malam.
Lebih 1,000 bahan bacaan termasuk al-Quran ditawarkan kepada peminat dengan potongan sehingga 80 peratus.