Peguam Negara sedia temui keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris

Iklan
Mohd Dusuki

KOTA BHARU – Jabatan Peguam Negara bersedia mengadakan pertemuan dengan keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman dalam masa terdekat bagi membincangkan perkembangan siasatan kes kematian pelajar maahad tahfiz itu.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, siasatan berhubung kes berkenaan masih dijalankan dan pihaknya memaklumkan kepada peguam keluarga bahawa pertemuan akan diatur sebaik sahaja tarikh sesuai dipersetujui.

Iklan
Iklan

“Kami bersedia berjumpa dan berbincang dengan keluarga mereka serta melihat hala tuju seterusnya.

“Arahan siasatan masih diteruskan dan kita tunggu hasilnya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-56 di Istana Balai Besar di sini pada Isnin.

Iklan

Mohd Dusuki menegaskan pihaknya akan memastikan siasatan dijalankan secara telus dan akan memaklumkan sebarang perkembangan kepada keluarga Allahyarham dari semasa ke semasa.

Pada 1 September lalu, keluarga Wan Ahmad Faris menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, merangkumi tiga tuntutan utama termasuk penjelasan mengenai tindakan meroboh lokasi kejadian iaitu tandas sekolah sedangkan siasatan masih belum dimuktamadkan.

Iklan

Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang ketika itu pelajar Tingkatan Empat ditemukan mati tergantung dalam tandas asrama sekolah berkenaan di Kok Lanas.

Bedah siasat pakar forensik mengesahkan kematian sebagai kematian mengejut tanpa unsur jenayah, namun Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan pelajar itu dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.