Cubaan seludup hidupan liar RM20,000 ke India tumpas

Iklan
Antara haiwan liar yang cuba diseludup suspek untuk dibawa ke India.

SEPANG – Cubaan seorang lelaki menyeludup keluar beberapa spesies hidupan liar bernilai kira-kira RM20,000 berjaya dipatahkan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Ahad.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) memaklumkan, dalam operasi kira-kira jam 8.10 malam di Terminal 1, pihaknya bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Polis Bantuan KLIA mengesan tindakan mencurigakan seorang penumpang sebelum melakukan pemeriksaan terhadap bagasinya.

Iklan
Iklan

"Pemeriksaan lanjut menemukan haiwan disyaki seekor ungka dan dua ekor disyaki cuscus yang cuba dibawa keluar menggunakan penerbangan ke Mumbai, India.

"Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan mencecah RM20,000," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Katanya, suspek berusia 46 tahun itu kemudiannya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Aeropolis untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).

Iklan

"Semua barang kes turut diserahkan kepada Perhilitan KLIA bagi tindakan lanjut," katanya.

AKPS memberitahu, kejayaan operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti penyeludupan hidupan liar selain memastikan pintu masuk utama negara tidak dijadikan laluan jenayah rentas sempadan.