SHAH ALAM – Kelab Pesara Muslimah Selangor (KPMS) menganjurkan Seminar Kesejahteraan Holistik Warga Berusia bertemakan ‘Ke Arah Beramal Produktif, Berbakti dan Berjasa’ pada Sabtu.
Program yang bertempat di Dewan Serbaguna, Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam itu menghimpunkan kira-kira 150 orang terdiri daripada golongan pesara, bakal pesara dan penyelidik yang terlibat secara langsung dalam bidang penjagaan warga emas.
KPMS dalam satu kenyataan berkata, penganjuran seminar tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesejahteraan holistik dalam kalangan warga berusia, meliputi aspek rohani, jasmani, emosi, sosial, kewangan, intelek, budaya dan digital.
“Kesejahteraan holistik penting bagi memastikan warga berusia terus berdaya tahan, berdikari dan kekal menyumbang bakti kepada masyarakat walaupun selepas bersara.
“Warga emas bukan hanya perlu dihargai, tetapi mereka juga memiliki potensi besar untuk kekal aktif dengan pengalaman luas, kebijaksanaan serta nilai tradisi yang dapat dimanfaatkan oleh generasi muda,” katanya.
Seminar menampilkan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Pakar An-Nur, Datuk Dr Harlina Halizah Siraj yang juga pengasas Akademi Dr HAR Putrajaya sebagai penceramah utama.
Beliau menekankan kesejahteraan fizikal, emosi, intelek dan sosial sebagai tonggak kepada kehidupan warga emas yang lebih seimbang di samping kepentingan rohani serta kesedaran menghadapi perubahan usia.
Selain itu, forum khas turut diadakan dengan menampilkan empat panel berpengalaman iaitu Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Sabariah Salleh; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Selangor, Datin Paduka Mastura Mohamad dan Pengasas merangkap Yang Dipertua KPMS, Latiffah Sidek.
Hasil pembentangan seminar berkenaan juga menggariskan pelbagai cabaran utama yang dihadapi warga berusia termasuk isu kesihatan, kestabilan kewangan, kesepian dan isolasi sosial.
Selain itu, diskriminasi, keterbatasan perumahan, akses kepada perkhidmatan dan ketinggalan dalam penggunaan teknologi juga menjadi fokus perbincangan.
Tambah KPMS, usaha menghargai dan memperkasa warga emas amat penting kerana mereka memiliki pelbagai keistimewaan seperti ketabahan emosi, jaringan sosial kukuh, kemampuan mengajar serta membimbing generasi baharu.
“Melalui seminar ini, kami berharap warga berusia dapat menyedari potensi diri, memperbaiki kelemahan, membina sikap positif dan pada masa sama, menyumbang idea serta tenaga untuk kebaikan bersama,” ujarnya.