SHAH ALAM - Pandangan kononnya pemain sektor kreatif tiada masa depan hanya pandangan lapuk, sebaliknya kelompok itu kian berkembang di seluruh dunia, kata Pengasas KL Sketch Nation.
“Ramai yang kata (seni) tidak boleh buat duit. Sebenarnya bukan tidak boleh buat duit tapi kita yang sendiri percaya bahawa kenyataan itu (tidak boleh buat duit) betul.
“Kita perlu cari sasaran pelanggan dan bukan hanya sekadar buka gerai. Kita perlu lakukan kerjasama,” kata Ahmad Hakym Ahmad Hilmy.
Ditubuhkan pada 2014, KL Sketch Nation menyatukan peminat seni, sejarah dan budaya Kuala Lumpur melalui lukisan dan sketchwalk melalui pelbagai acara.
Peneraju syarikat penerbitan buku Rabak-Lit Izzat Amir pula percaya Seksyen 13 di sini antara lokasi strategik untuk dijadikan hab seni atau pusat kegiatan seni dan budaya.
“Idea mahu buka hab kreatif ini berdasarkan pengalaman sendiri. Awal 2000-an dulu saya libatkan diri dengan Pekan Frinjan, ada juga saya anjur persembahan kumpulan muzik," katanya.
Pengarah operasi Kota Jail Zul Abas pula menasihati golongan belia supaya meneroka potensi dan bakat diri sebelum membuat sebarang keputusan penting dalam pemilihan kerjaya.
Menurut lepasan bidang kejuruteraan itu, tindakannya menceburi sektor ekonomi kreatif sesuatu yang tidak dikesali bahkan ia memberi cabaran baharu.
“Umur antara 17 hingga 19 tahun ini amat penting. Ini waktu untuk anda teroka minat diri sendiri. Apabila kita lakukan apa yang kita minat, kita pasti akan berjaya,” katanya.
Kota Jail asalnya Penjara Ayer Molek yang berusia 143 tahun dan dijadikan hab komuniti sejak dibuka pada 14 Mac lalu.
Ahli Ekonomi Universiti Malaya Prof Rajah Rasiah pula percaya Selangor berpeluang besar untuk menjadi hab kreatif Malaysia dengan memanfaatkan peralihan digital dan teknologi baharu.
“Penting untuk mewujudkan ekosistem pembangunan kemahiran digital bagi mereka yang menguruskan platform dan pengguna.
“Negeri perlu membuka platform digital supaya pekerja industri kreatif dapat memanfaatkan analitik Big Data, IoT (internet of things) dan robotik yang beroperasi 24 jam.
“Pembangunan kemahiran digital dan tenaga kerja baharu juga mesti diutamakan,” katanya lagi.
Sementara itu, ketua seni British Council Florence Lambert memberitahu ekonomi kreatif salah satu daripada lapan keutamaan nasional dalam Pelan Pembangunan Industri di United Kingdom.
Beliau menjelaskan sektor berkenaan sentiasa menerima pelbagai inisiatif termasuk sokongan kewangan, tenaga kerja mahir, kluster serantau dan industri hadapan.
“Ekonomi kreatif penting untuk pembangunan budaya sesebuah negara dan pembinaan masyarakat,” katanya.
TAKRIFAN SEKTOR:
-Ekonomi berasaskan kreativiti, seni, budaya dan inovasi, jana pendapatan melalui idea dan bakat
-Warna jingga melambangkan tenaga, kreativiti dan idea baharu
-Aktiviti merangkumi muzik, filem, animasi, reka bentuk, kraf tradisi, fesyen, kulinari kreatif, permainan digital, pelancongan budaya
-Dasar Ekonomi Kreatif diperkenal sejak 2009, kini digerakkan semula oleh Kerajaan Selangor
-Trend global dipacu kejayaan negara seperti Korea Selatan (K-Wave) dan UK (industri kreatif London)
-Bertujuan cipta pekerjaan bernilai tinggi, tingkatkan pelancongan dan eksport, sambil memelihara warisan budaya
-Diangkat dalam Rancangan Malaysia Ke-13 sebagai teras penting pembangunan mampan dan pertumbuhan ekonomi