Lebih 30 terbunuh dalam rempuhan perhimpunan politik di India

Iklan
Puluhan ribu orang berkumpul bagi menyertai kempen politik di di Tamil Nadu, Selatan India. Foto Agensi

NEW DELHI — Sekurang-kurangnya 31 orang termasuk kanak-kanak, terkorban dalam insiden rempuhan ketika menghadiri satu perhimpunan politik di Tamil Nadu, Selatan India.

Tragedi itu berlaku di daerah Karur apabila puluhan ribu orang berkumpul bagi menyertai kempen politik yang diketuai oleh pelakon dan ahli politik terkenal, Vijay.

Iklan
Iklan

Menurut laporan media tempatan, acara yang dijadualkan itu mengalami kelewatan selama beberapa jam, menyebabkan orang ramai semakin padat dan tidak terkawal.

Suasana menjadi huru-hara apabila ramai pengunjung pengsan akibat sesak nafas dan rakaman televisyen menunjukkan situasi panik dengan orang ramai bertempiaran serta pasukan kecemasan bertungkus lumus menyelamatkan mangsa.

Iklan

Menteri Negeri Tamil Nadu, Senthil Balaji, mengesahkan jumlah korban sekurang-kurangnya 31 dan memaklumkan bahawa lebih 50 orang lagi mengalami kecederaan.

Menteri Kesihatan negeri, Ma Subramanian, turut mengesahkan bahawa antara yang maut adalah 16 wanita, sembilan lelaki dan enam kanak-kanak.

Iklan

Ketua Menteri Tamil Nadu, MK Stalin, berkata beberapa mangsa telah dikejarkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri.

Beliau turut mengarahkan bantuan kecemasan dari daerah sekitar untuk mempercepatkan usaha menyelamat dan rawatan kecemasan.

Sementara itu, menerusi kenyataan di media sosial, Vijay melahirkan rasa sedih dan terkejut terhadap insiden tersebut.

“Hati saya hancur.

"Saya menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan kesembuhan mereka yang cedera. Kesakitan dan kesedihan ini tidak terungkap dengan kata-kata,”ujarnya.