Malaysia, Thailand erat kerjasama KKP bawah kerangka ASEAN

Iklan
Kerjasama itu melibatkan perkongsian modul latihan, hasil penyelidikan, kepakaran serta kemudahan makmal antara Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dengan Institut KKP Thailand (Thailand Institute of Occupational Safety and Health, T-OSH).

BANGKOK - Malaysia dan Thailand bersetuju memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) demi memastikan kesejahteraan pekerja di kedua-dua negara.

Kerjasama itu melibatkan perkongsian modul latihan, hasil penyelidikan, kepakaran serta kemudahan makmal antara Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dengan Institut KKP Thailand (Thailand Institute of Occupational Safety and Health, T-OSH).

Iklan
Iklan

Pengarah Eksekutif NIOSH, Datuk Ayop Salleh berkata, lawatan kerja beliau ke Ibu Pejabat T-OSH di Bangkok pada 26 September lalu memberi isyarat permulaan kepada kerjasama lebih menyeluruh dalam kalangan negara serantau di bawah Kepengerusian ASEAN–Malaysia.

“Pertemuan kali ini amat memberangsangkan kerana kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan promosi aktiviti berkaitan KKP secara bersama melalui pameran dan persidangan di dalam serta luar negara.

Iklan

“NIOSH dan T-OSH juga akan meningkatkan keupayaan makmal serta tenaga pakar masing-masing supaya penyelidikan KKP memenuhi kehendak industri dan mampu menawarkan penyelesaian praktikal kepada cabaran baharu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Delegasi NIOSH turut mengadakan perbincangan bersama Pengarah Eksekutif T-OSH, Dr Nantachai Panyasurarit serta beberapa pegawai kanan institut itu termasuk Profesor Madya Buncha Srithanauthaikorn, Dr Sasadis Choochon dan Dr Thanawan Ritthichai.

Iklan

Menurut Ayop, T-OSH akan mengatur lawatan balas ke Ibu Pejabat NIOSH di Bandar Baru Bangi bagi meninjau 13 makmal KKP bertaraf antarabangsa yang dimiliki agensi tersebut.

“Lawatan balas ini akan menjadi penanda aras kepada program sama di peringkat ASEAN, selaras dengan hasrat Kerajaan Madani melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk memperkukuh tahap KKP serantau,” jelasnya.

T-OSH merupakan organisasi awam pertama di bawah Kementerian Buruh Thailand yang ditubuhkan bagi mempromosikan keselamatan pekerjaan dan alam sekitar di negara itu.

Ayop berkata, ketika Sidang Kemuncak KKP ASEAN (ASEAN Safe and Healthy Workers Summit 2025) anjuran NIOSH di Kuala Lumpur awal September lalu, delegasi serantau berpeluang melawat makmal NIOSH selain menyaksikan pelancaran Pejabat Perhubungan Institut Penyelidikan KKP Asia (AOSHRI) di ibu pejabat agensi berkenaan.

Beliau menegaskan, kerjasama KKP melalui kerangka ASEAN dan AOSHRI diyakini mampu mempercepatkan inisiatif meningkatkan keselamatan, kesihatan serta kesejahteraan di tempat kerja seiring negara maju.