Wanita Singapura ditahan maki polis

Iklan
Suspek berusia 29 tahun itu ditahan ketika sekatan jalan raya di Lebuhraya Linkedua, Gelang Patah, Iskandar Puteri pada Sabtu.

ISKANDAR PUTERI – Seorang wanita warga Singapura ditahan selepas bertindak menghalang tugas polis serta mengeluarkan kata-kata kesat ketika sekatan jalan raya di Kilometer 3.8 Lebuhraya Linkedua, Gelang Patah di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner, M Kumarasan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, suspek berusia 29 tahun yang memandu kereta jenis Honda ditahan kerana kesalahan penggunaan ekzos tidak sah.

Iklan
Iklan
M KUMARASAN

"Ketika pemeriksaan dilakukan, wanita terbabit enggan memberikan kerjasama malah memaki anggota yang bertugas kerana tidak berpuas hati terhadap tindakan saman dikenakan.

“Ujian air kencing dan alkohol terhadap suspek didapati negatif. Bagaimanapun saman turut dikeluarkan atas kesalahan mengubah suai ekzos kenderaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Jelas beliau, suspek kini ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Polis menasihatkan orang ramai agar mematuhi undang-undang serta memberikan kerjasama semasa pemeriksaan dijalankan.

Iklan

Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan ke Balai Polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau Hotline 07-5114486