KAHERAH – Kedutaan Palestin di Mesir meraikan graduan sekolah menengah dari Gaza yang cemerlang dalam akademik meskipun wilayah itu musnah akibat serangan berterusan rejim Israel.
Menurut laporan Al-Jazeera, Duta Palestin, Diab al-Louh menyampaikan ucapan tahniah daripada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan kepimpinan negara itu dengan menyifatkan pencapaian para pelajar itu sebagai 'sinar harapan' untuk masa depan negara.
Beliau berkata, meskipun sektor pendidikan Gaza mengalami kerugian besar dengan banyak bangunan sekolah dan universiti musnah atau rosak, pelajar tetap bertekad untuk meneruskan pembelajaran.
Pada majlis itu, seramai 132 pelajar yang memperoleh markah melebihi 95 peratus dalam peperiksaan akhir telah diiktiraf.
Wakil pelajar turut mendedikasikan kejayaan mereka itu kepada mangsa yang terkorban dalam perang sambil berjanji membina masa depan Palestin dengan ilmu dan tekad, bukannya kemusnahan.