SHAH ALAM - Peminat buku kanak-kanak kini berpeluang mendapatkan pelbagai siri buku popular dengan harga istimewa menerusi Jualan Gudang Karangkraf 2025 yang berlangsung pada 26 September hingga 5 Oktober depan.
Editor Kids Karangkraf, Grup Buku Karangkraf (GBK), Ismawannie Ismail berkata, jualan gudang ini menampilkan tawaran harga menarik melibatkan pelbagai buku kanak-kanak interaktif, cerita rakyat, pendidikan awal dan buku aktiviti kanak-kanak.
Menurutnya, antara yang mencuri tumpuan ialah Siri Buku Suluh yang terkenal dengan elemen interaktif menggunakan lampu suluh.
“Fakta dan gambar tersembunyi mengenai haiwan dapat dilihat apabila disuluh ke atas halaman tertentu, menjadikan pengalaman membaca lebih menyeronokkan serta memberi pelbagai fakta tentang haiwan kepada anak-anak.
“Buku ini ditawarkan pada harga promosi RM10 untuk satu naskhah atau RM28 bagi tiga naskhah," katanya.
Beliau berkata, buku kanak-kanak lain yang turut ditawarkan termasuk siri baharu iaitu Siri Buah.
“Buku ini dapat memperkenalkan buah-buahan kepada kanak-kanak dan mendidik mereka agar menyukai buah sihat sejak awal. Harga yang ditawarkan sempena jualan gudang kali ini hanyalah RM8.50 senaskhah,” katanya kepada Sinar Harian.
Jualan gudang yang berlangsung selama 10 hari itu dibuka bermula jam 9 pagi hingga 7 malam.
Tambah Ismawannie, lebih menarik pembeli boleh membeli tiga buku yang berlainan dalam pakej yang sama misalnya mencampurkan Siri Cendiakawan, Siri Cerita Rakyat dan Siri Suluh dengan harga promosi yang cukup berbaloi.
“Jika ingin mendapatkan semua buku terbitan Kids Karangkraf, berkunjunglah ke jualan gudang ini. Semua ada di sini. Jika cari di kedai, belum tentu dapat semua siri,” ujarnya.
Beliau turut memberitahu, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk kanak-kanak antaranya pertandingan mewarna dan teka silang kata bergambar.
“Pertandingan mewarna diadakan setiap minggu iaitu pada 27 dan 28 September serta 4 dan 5 Oktober jam 10.30 pagi menggunakan buku terbaharu daripada Siri Buah, manakala pertandingan teka silang kata berlangsung pada jam 2.30 petang.
“Kami menjemput orang ramai untuk datang bersama keluarga bagi mendapatkan buku kanak-kanak di jualan gudang kami, menambah koleksi dan sebagainya pada harga yang cukup berbaloi,” katanya.