KUANTAN – “Kalau ada duit, esok juga saya nak teruskan rawatan, tapi saya cuma mampu berharap ada yang sudi bantu.”
Demikian kata Mohd Ridzuan Mohd Rashid, 53, yang kini berdepan ujian berat selepas disahkan menghidap kanser lidah tahap empat sejak 2023.
Menurut bekas jurutera itu, sebanyak RM100,000 diperlukan untuk menjalani rawatan segera di sebuah hospital pakar merawat penyakit berkenaan.
“Doktor cakap kos rawatan RM100,000 dan jumlah itu di luar kemampuan saya dan keluarga.
"Jadi, saya memohon agar pihak yang sudi boleh menghulurkan sumbangan bagi memudahkan saya menjalani rawatan kanser ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Indera Mahkota 15, di sini, pada Sabtu.
Bercerita mengenai penyakit dialaminya, Mohd Ridzuan berkata, semuanya bermula dengan benjolan kecil pada pangkal leher kira-kira tiga tahun lalu.
Katanya, pemeriksaan awal di klinik dengan memberikan ubat antibiotik untuk kurangkan kesan benjolan itu.
"Namun, selepas pemeriksaan lanjut di hospital, saya disahkan menghidap kanser lidah tapi ketika itu masih di tahap 1,” ujarnya.
Bapa kepada tiga anak itu memaklumkan, isterinya, Rina Zainal Abidin, 52, pula terpaksa mengambil cuti tanpa rekod untuk menjaganya sejak kanser yang dihidapinya mencapai tahap 4.
Luahnya, disebabkan penyakit dialami menyebabkan sumber pendapatannya hilang sepenuhnya dan kini bergantung kepada wang simpanan.
“Mujur isteri ada pendapatan, jadi sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami.
"Dua anak kami sudah bekerja, yang bongsu kini berada di Tingkatan empat
"Untuk rawatan sebelum ini, bagi sesi kemoterapi dan radioterapi saja, kami sudah membelanjakan hampir RM20,000,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang berkata, pusat Khidmatnya dengan kerjasama komuniti setempat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung sedang menggerakkan usaha mengumpul dana untuk membantu Mohd Ridzuan dan keluarga.
"Kami berharap sumbangan yang dikumpul mencukupi bagi membolehkan beliau menjalani prosedur rawatan yang diperlukan,” katanya selepas mengunjungi kediaman keluarga itu.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 06001-41-10010085-6 atau nama Mohd Ridzuan.