Bayi baru lahir ditinggalkan di pondok bas

Iklan
Bayi lelaki dipercayai baru lahir ditemui dibalut dengan kain napkin dan diletakkan di dalam kotak di pondok menunggu bas di hadapan Surau Batu 5, Alai pada Jumaat.

MELAKA – [DIKEMAS KINI] Seorang jemaah surau terkejut apabila menemui seorang bayi lelaki dipercayai baru lahir, dibalut dengan kain napkin dan diletakkan di dalam sebuah kotak di pondok menunggu bas berhampiran Surau Batu 5, Alai, Kandang di sini pada malam Jumaat.

Kejadian disedari kira-kira jam 9.20 malam sebelum jemaah surau berkenaan menghubungi pihak polis.

Iklan
Iklan

Sumber berkata, Balai Polis Kandang yang menerima maklumat kejadian kemudian menggerakkan anggota ke lokasi.

Seorang bayi lelaki ditemui dalam kotak di pondok menunggu bas itu di hadapan Surau Batu 5, Alai pada malam Jumaat.

Iklan

"Pemeriksaan mendapati bayi berkenaan yang masih bernyawa diletakkan dalam kotak berwarna coklat di atas tempat duduk pondok bas.

"Bayi seberat 2.7 kilogram itu masih bertali pusat, dianggarkan berusia sekitar tujuh hari dan berada dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan," katanya.

Iklan

Menurut sumber lagi, polis kemudian menghubungi ambulans yang tiba kira-kira 25 minit kemudian.

“Pegawai perubatan memeriksa kesihatan bayi tanpa identiti itu sebelum membawanya ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut berada di lokasi bagi membantu siasatan sebelum kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Deputi Komisioner Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.