KUALA LUMPUR - Kegiatan mengemis dipercayai didalangi warga asing terbongkar menerusi operasi besar-besaran sekitar premis perniagaan di Jalan Sultan Azlan Shah di sini pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, beberapa individu warga asing dipercayai pengemis yang ditahan didapati menyamar sebagai pelancong ketika pemeriksaan dijalankan.
“Ada segelintir warga asing ini, kebanyakannya dari negara Asia Selatan, apabila ditahan mendakwa kononnya mereka pelancong di negara ini.
“Namun, helah itu terbongkar apabila pemeriksaan menemui banyak wang kertas RM1 yang mereka miliki, termasuk yang disimpan di beberapa bilik sewaan,” katanya dalam sidang media di lokasi operasi berkenaan.
Beliau berkata, kawasan itu menjadi tumpuan orang ramai khususnya pelancong kerana terdapat banyak restoran yang menawarkan aneka makanan, terutamanya hidangan Pakistan.
“Kawasan ini dikenal pasti sebagai salah satu lokasi tumpuan pelancong dan orang ramai. Atas faktor itu, ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menjalankan kegiatan mengemis,” jelasnya.
Menurut beliau, sebahagian besar individu warga asing yang ditahan bekerja di restoran sekitar kawasan berkenaan.
“Kawasan ini memang dikenali sebagai lokasi utama yang menyajikan pelbagai hidangan Pakistan. JIM tiada masalah berhubung perkara itu asalkan semua peraturan, khususnya berkaitan imigresen dipatuhi.
“Aduan sebelum ini juga menyatakan kawasan ini dipenuhi warga Pakistan, dan menerusi operasi ini sebahagian besar yang ditahan adalah daripada negara tersebut,” katanya.
Terdahulu, JIM Kuala Lumpur menggempur sepanjang Jalan Sultan Azlan Shah menerusi operasi bersepadu yang turut disertai pelbagai agensi penguat kuasa.
Operasi yang bermula jam 9.30 malam itu menahan seramai 199 individu, termasuk majikan warga tempatan, kerana didapati melanggar pelbagai kesalahan imigresen.